KUALA LUMPUR: Seramai 645 guru pendidikan khas baharu mengisi kekosongan perjawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 melibatkan 578 orang ditempatkan dalam Program Pendidikan Khas Integrasi dan 67 orang ditempatkan di sekolah pendidikan khas di seluruh negara setakat Oktober tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pengisian kekosongan itu menjadikan keseluruhan guru pendidikan khas di seluruh negara berjumlah 19,563 orang.
Jelasnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 11,142 merupakan guru pendidikan khas di sekolah rendah dan 8,421 guru pendidikan khas di sekolah menengah sekali gus menunjukkan kekurangan guru pendidikan khas telah dapat diatasi melalui pelbagai inisiatif.
“Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Jawatankuasa Teknikal Pengambilan dan Penempatan Guru KPM telah melaksanakan langkah intervensi bagi mengatasi isu ini dengan lebih holistik, iaitu melalui kerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan dalam memastikan lonjakan penambahan bilangan guru bagi memenuhi keperluan semasa dan menangani isu kekurangan guru pendidikan khas.
“Beberapa langkah intervensi yang telah dilaksanakan bagi mengatasi isu ini serta membolehkan KPM mempunyai lebih ramai calon guru berpotensi dilantik adalah perluasan kluster mata pelajaran (KMP) iaitu graduan yang memiliki bidang pengkhususan utama tertentu boleh memohon untuk mengisi kekosongan mata pelajaran lain yang dikategorikan dalam kluster sama.
“Pengambilan guru juga diperluaskan kepada graduan-graduan berpotensi tinggi dari universiti awam, universiti swasta dan universiti luar negara serta penubuhan Jawatankuasa Teknikal Pengambilan dan Penempatan Guru KPM bagi mengenal pasti perubahan mencakupi aspek dasar, kurikulum, program dan enrolmen keperluan guru serta bertujuan memastikan keseimbangan dalam pengambilan dan penempatan guru sekolah KPM,” katanya kepada soalan Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) di Dewan Rakyat. – UTUSAN










