RPN 2026–2035 hala tuju pendidikan negara 10 tahun akan datang, dilancar Selasa ini

RPN 2026–2035 hala tuju pendidikan negara 10 tahun akan datang, dilancar Selasa ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM) bakal melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.

Menurut kenyataan bersama KPT dan KPM, pelancaran rancangan tersebut akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Januari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Bagi KPT, Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 merupakan dokumen hala tuju utama pembangunan pendidikan tinggi negara bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Ia merupakan kesinambungan dan pengganti kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi).

“RPTM 2026–2035 dibangunkan melalui proses libat urus berskala besar yang melibatkan 181 pakar tempatan serta 8,226 pihak berkepentingan.

“Mereka merangkumi para sarjana, tokoh akademik, institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta, pihak industri serta wakil masyarakat daripada pelbagai latar belakang,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan sama, RPTM 2026–2035 merupakan dokumen bersifat dinamik (living document), yang fleksibel dan responsif terhadap perubahan landskap global serta kemajuan teknologi.

“Fokus utama pelan ini turut merangkumi pembangunan bakat pembina negara (nation-builders) yang bermatlamat, berdaya tahan dan berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat (humanity-centric).

“Selain itu, integrasi teknologi dan kecerdasan buatan (AI) akan menjadi pemboleh daya dalam kurikulum serta penyelidikan bagi melahirkan pencipta teknologi masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang diterajui KPM akan menjadi rujukan asas pembangunan pendidikan dalam negara, selaras dengan Visi KPM iaitu Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.

“Rancangan ini digerakkan melalui tujuh teras strategik dan 49 prakarsa berimpak tinggi, dengan penekanan kepada peningkatan akses dan kualiti pendidikan, pembangunan potensi murid, transformasi pendidik, pemantapan prasarana dan infostruktur, tindakan bersama pemegang taruh serta pengukuhan kecekapan tadbir urus dan sistem penyampaian.

“Pelaksanaan RPTM 2026–2035 dan RPM 2026–2035 secara bersepadu di bawah RPN 2026–2035 mencerminkan keselarasan dasar pendidikan negara yang menyeluruh dan berfasa, bagi memastikan kesinambungan pembangunan modal insan daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN