RM254 juta untuk koperasi, peruntukkan tertinggi dalam sejarah

RM254 juta untuk koperasi, peruntukkan tertinggi dalam sejarah

STEVEN SIM CHEE KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELANA JAYA: Peruntukan RM254 juta bagi melaksanakan 28 program pembangunan koperasi tahun ini merupakan yang tertinggi pernah disalurkan sejak gerakan koperasi ditubuhkan di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, dana berkenaan akan dimanfaatkan bagi menyokong pelbagai program termasuk tujuh program baru.

Katanya sebanyak RM27.9 juta disalurkan dalam bentuk geran melalui 20 program di bawah Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi (KWAPB), Kumpulan Wang Pusat (CCF) serta Bajet Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Dana ini akan disalurkan dalam bentuk geran dan pembiayaan bagi memastikan gerakan koperasi terus diperkasa menerusi pelbagai inisiatif strategik sepanjang tahun 2026,” katanya ketika ditemui dalam lawatan rasmi pertamanya ke Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di Wisma Ungku A. Aziz, disini, hari ini.

Turut hadir Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Angkasa, Datuk Abdullah Jusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhjaya Koperasi Malaysia (SKM), Noor Afifah Abdul Razak.

Sim berkata sebanyak RM226 juta akan disalurkan melalui Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM, merangkumi lapan program khusus bagi menyokong keperluan modal kerja, pengembangan perniagaan, serta meningkatkan daya saing koperasi di pasaran.

“Tumpuan geran ini meliputi pendigitalan operasi, pengadaptasian teknologi hijau, pengukuhan keupayaan eksport serta bantuan pemulihan perniagaan.

“Secara keseluruhan, peruntukan ini menzahirkan iltizam berterusan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam memperkukuh gerakan koperasi sebagai teras strategik pembangunan sosioekonomi negara, selaras dengan aspirasi RMK13,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara inisiatif utama ialah penyertaan sebanyak 10,000 kedai kecil dan koperasi di seluruh negara dalam program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang dijangka memberi manfaat besar khususnya kepada masyarakat luar bandar memandangkan sebahagian besar kedai koperasi beroperasi di kawasan berkenaan.

“Bagi menyokong penyertaan koperasi dalam program tersebut, kerajaan menyediakan pembiayaan berjumlah RM54 juta bagi membantu koperasi kecil melaksanakan keperluan pendigitalan.

“Ia termasuk perolehan peranti digital, penaiktarafan internet, pembelian barangan serta pengurusan stok, dengan pembiayaan sehingga RM30,000 ditawarkan pada kadar pembiayaan hanya dua peratus,” katanya.

Tambahnya, peruntukan Tabung Modal Pusingan di bawah SKM turut ditingkatkan dua kali ganda daripada RM76.7 juta tahun lalu kepada RM226 juta pada tahun ini bagi membolehkan koperasi kecil menyesuaikan diri dengan sistem teknologi baharu.

KUSKOP turut menyalurkan dana tambahan kepada Angkasa daripada RM3 juta tahun lalu kepada RM4.4 juta bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan pembangunan gerakan koperasi di peringkat nasional. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN