Ringgit mengukuh susulan OPR kekal 2.75 peratus - Utusan Malaysia

Ringgit mengukuh susulan OPR kekal 2.75 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pertama tahun ini mendorong pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Semalam, mata wang tempatan dibuka tinggi berbanding dolar AS pada 4.0430/4.0480 berbanding 4.0470/4.0520 pada Rabu, sebelum mengukuh pada 4.0360/4.0410 di akhir dagangan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, penilaian positif oleh BNM dilihat telah memberi kesan baik terhadap nilai mata wang tempatan berbanding dolar AS.

Menurut beliau, OPR yang stabil dijangka menarik minat pelabur asing untuk membeli aset kewangan di Malaysia dan secara tidak langsung mewujudkan permintaan terhadap mata wang ringgit.

“Keputusan jawatankuasa tersebut juga mencerminkan pandangan positif terhadap keadaan ekonomi global dan domestik bagi 2025 dan dijangkakan momentum pertumbuhan positif ini berterusan hingga tahun ini.

“Justeru, kami turut menjangkakan sekiranya pertumbuhan ekonomi kekal stabil sekitar 4.5 peratus, maka keperluan untuk mengurangkan OPR adalah tidak mendesak.

“Kami turut menjangkakan OPR akan kekal stabil berikutan prospek pertumbuhan ekonomi yang dijangka baik bagi tahun ini, meskipun berdepan pelbagai cabaran.

“Bahkan kenaikan kadar inflasi secara beransur-ansur menuntut pihak BNM untuk kekal berhati-hati dalam mentadbir dasar monetari supaya kadar inflasi kekal stabil,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, MPC BNM mengekalkan OPR 2.75 peratus pada mesyuarat pertamanya bagi tahun ini.

Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata sebanyak 1.4 peratus dan dua peratus pada 2025 manakala bagi tahun ini, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana berikutan keadaan kos global yang terus reda. 

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, pengekalan OPR membantu mengekalkan kebolehramalan pembiayaan serta menyokong pelaksanaan pelaburan sektor swasta dan awam dalam jangka sederhana hingga panjang.

Menurutnya, langkah itu juga mengelakkan kekangan awal terhadap pengantaraan kredit ketika momentum pertumbuhan ekonomi semakin mengukuh.

“Yang penting, pendirian dasar ini disokong oleh penampan luaran yang kukuh serta peningkatan kredibiliti makroekonomi.

“Ia sekali gus mengurangkan kerentanan terhadap turun naik kewangan global dan menyediakan ruang dasar untuk mengutamakan asas domestik,” katanya.

Tambahnya, secara keseluruhan pendirian dasar monetari semasa adalah sejajar secara strategik dengan rangka kerja unjuran IPPFA yang menyokong ketahanan pertumbuhan ekonomi, mengukuhkan keyakinan serta mengekalkan fleksibiliti dasar.

“Bagaimanapun, ia tidak memberi isyarat peralihan kepada normalisasi dasar secara awal,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN