PETALING JAYA: Pengukuhan nilai ringgit di bawah paras RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), membantu menurunkan harga barangan import termasuk barangan keperluan dan ubat-ubatan, sekali gus memberi kelegaan menghadapi tekanan kos sara hidup.
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, ia memberi manfaat langsung kepada rakyat menerusi pengurangan kos import khususnya bagi barangan keperluan, makanan, peralatan perubatan, bahan mentah serta input industri.
Katanya, apabila kos import menjadi lebih rendah, tekanan kenaikan harga dapat diredakan dan seterusnya membantu menstabilkan kos sara hidup rakyat.
“Pengukuhan ringgit juga meningkatkan kuasa beli rakyat terutama bagi barangan yang bergantung kepada komponen import, selain menyokong usaha kerajaan dalam mengekang inflasi secara lebih berkesan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ringgit didagangkan di bawah paras RM4 berbanding dolar AS buat kali pertama dalam tempoh hampir lapan tahun manakala harga emas pula mencatat rekod baharu melepasi AS$5,000 (RM20,017.30) seauns atau RM644 segram.
Isnin lalu, mata wang tempatan dibuka tinggi berbanding dolar AS pada 3.9750/9800 berbanding 4.0020/4.0080 pada Jumaat, sebelum mengukuh pada 3.9660/9710 di akhir dagangan.
Ringgit kali terakhir diniagakan pada paras yang sama adalah pada 24 Mei 2018 apabila ia mencecah RM3.9797 berbanding dolar AS.
Sementara itu, Felo Penyelidik Pusat Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Farah Roslan berkata, ringgit kini berada pada paras terkuat dalam tempoh hampir lapan tahun berbanding dolar AS, disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh serta aliran modal global yang stabil.
Beliau berkata, ketidaktentuan geopolitik semasa termasuk konflik di Ukraine dan ketegangan di Asia Barat turut mempengaruhi sentimen pelabur, lantas menyokong permintaan terhadap ringgit sebagai mata wang yang dilihat lebih stabil.
“Prestasi eksport Malaysia kekal mantap kebelakangan ini didorong oleh sektor elektrik dan elektronik serta komoditi utama seperti minyak sawit dan petroleum.
“Permintaan yang tinggi daripada pasaran utama termasuk China, AS dan Kesatuan Eropah (EU) telah meningkatkan aliran masuk mata wang asing ke negara ini, sekali gus menyokong pengukuhan ringgit,” katanya. – UTUSAN










