PETALING JAYA: Pengukuhan ringgit ke paras tertinggi dalam tempoh hampir lapan tahun menunjukkan keyakinan pasaran terhadap asas ekonomi Malaysia yang semakin kukuh, hasil pengurusan ekonomi dan fiskal kerajaan yang lebih berdisiplin serta hala tuju dasar yang semakin jelas.
Pada pukul 5 petang semalam, ringgit ditutup kukuh pada 3.9520/9560 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 3.9615/9670 ketika ditutup kelmarin.
Mata wang tempatan dibuka tinggi pada 3.9650/9750 dan kali terakhir ringgit dilihat pada paras ini adalah pada Mei 2018.
Ketua Penyelidikan Rakuten Trade, Kenny Yee Shen Pin berkata, ringgit telah dinilai terlalu rendah untuk masa yang lama dan merupakan mata wang berprestasi paling teruk apabila ia mencecah RM4.80 pada 2024.
Bagaimanapun, ujarnya, ringgit meneruskan momentum pengukuhan tahun ini disokong oleh asas-asas yang kukuh dari segi politik dan kewangan.
“Selain aliran masuk pelaburan dan asas ekonomi yang lebih kukuh dan faktor luaran seperti dolar AS yang lebih lemah dan jangkaan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS, banyak dana keluar dari aset dalam AS dan memilih Asia sebagai destinasi pilihan.
“Di Asia Tenggara, Malaysia yang disokong oleh kestabilan politik dan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) telah menjadi tumpuan utama buat masa ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, adalah sukar untuk mengukur sokongan sebenar untuk terus memacu momentum ringgit pada masa ini.
“Tetapi secara peribadi saya berharap ia akan menguji semula tahap RM3.80 sekurang-kurangnya buat masa ini.
“Saya yakin dengan kekuatan ringgit sekurang-kurangnya bagi separuh pertama tahun ini, disokong oleh hakisan kepercayaan terhadap aset AS, susulan tindakan dan dasar Presiden AS, Donald Trump,” jelasnya.
Sementara itu, BIMB Securities Sdn. Bhd. berkata, ringgit dijangka meneruskan momentum pengukuhan dan berpotensi mencecah paras RM3.71 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini, disokong oleh gabungan faktor luaran dan asas ekonomi domestik yang semakin kukuh.
Menurutnya, sentimen terhadap ringgit kekal positif apabila mata wang tempatan muncul sebagai antara yang berprestasi terbaik di Asia setakat Januari, didorong oleh penyertaan semula pelabur asing dalam pasaran ekuiti dan bon tempatan.
“Di peringkat domestik, pemacu struktur terus menyokong naratif pertumbuhan jangka sederhana Malaysia. Permintaan dalam negara yang berdaya tahan, ketibaan pelancong yang memberangsangkan serta perkembangan pesat ekosistem pelaburan pusat data dan kecerdasan buatan (AI) dilihat memperkukuh asas ekonomi negara.
“Bagaimanapun, kelestarian pengukuhan ringgit masih berdepan beberapa risiko. Ekonomi AS yang lebih berdaya tahan daripada jangkaan berpotensi melambatkan atau membalikkan pelonggaran dasar Fed, sekali gus mengukuhkan semula dolar AS. Risiko geopolitik juga kekal sebagai faktor utama yang boleh mencetuskan episod penghindaran risiko global,” jelasnya.
Dalam negara pula, firma perbedapat sebarang kelembapan pertumbuhan ekonomi Malaysia ke bawah paras 4.0 peratus, khususnya akibat persekitaran luaran yang lebih mencabar, berkemungkinan mengehadkan potensi pengukuhan lanjut ringgit dan membawa kepada fasa penyatuan. – UTUSAN










