Rangka kerja RIA isyarat amaran kepada system

Rangka kerja RIA isyarat amaran kepada system

SATU daripada empat rakyat Malaysia menghabiskan simpanan KWSP mereka dalam tempoh lima tahun selepas mencapai umur pengeluaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CABARAN persaraan di Malaysia semakin sukar untuk diabaikan. Apabila jangka hayat meningkat dan kos sara hidup terus melonjak, cara rakyat Malaysia menyimpan dan mengeluarkan simpanan persaraan tidak lagi selari dengan realiti ekonomi semasa.

Satu daripada empat rakyat Malaysia menghabiskan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka dalam tempoh lima tahun selepas mencapai umur pengeluaran. Apabila ini berlaku, pesara berdepan dengan kerentanan kewangan pada usia lanjut dan sering terpaksa bergantung kepada sokongan keluarga atau bantuan awam yang terhad.

Menyedari jurang yang semakin melebar ini, KWSP mula mentakrifkan semula serta mengubah cara kecukupan persaraan difahami dan disampaikan. 

Satu langkah penting dalam perubahan ini ialah pengenalan rangka kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA), yang menggalakkan rakyat melihat KWSP bukan sebagai simpanan yang dikeluarkan sekali gus semasa bersara, tetapi sebagai sumber pendapatan bulanan yang perlu bertahan sepanjang usia tua.

Pada asasnya, simpanan persaraan sepatutnya dikeluarkan secara berperingkat, kira-kira sepanjang 20 tahun dari umur 60 hingga sekitar 80 tahun, selari dengan purata jangka hayat serta risiko kehabisan simpanan pada usia lanjut.

Bagi menjadikan konsep ini lebih mudah difahami, KWSP memperkenalkan tiga penanda aras simpanan. Simpanan Asas sebanyak RM390,000 bertujuan menampung keperluan hidup minimum. Simpanan Mencukupi, ditetapkan pada RM650,000, mencerminkan tahap kehidupan yang lebih selesa dan mampan. 

Sementara itu, Simpanan Dipertingkat sebanyak RM1.3 juta menyokong persaraan berkualiti tinggi dengan keselamatan kewangan dan fleksibiliti yang lebih besar.

Penanda aras ini bukan jaminan, tetapi rujukan praktikal untuk membantu ahli memahami secara realistik tahap kehidupan yang boleh disokong oleh simpanan persaraan mereka.

Bagaimana pengeluaran berasaskan pendapatan dilaksanakan dalam amalan

Berdasarkan ilustrasi KWSP, seorang pesara yang mempunyai simpanan RM390,000 pada umur 60 tahun boleh mengeluarkan kira-kira RM1,625 sebulan pada tahun pertama persaraan. Dengan pengeluaran yang berdisiplin serta pulangan dividen yang berterusan, jumlah ini berpotensi meningkat kepada sekitar RM4,434 sebulan apabila mencecah umur 80 tahun.

Bagi individu yang bersara dengan simpanan RM650,000, pendapatan bulanan boleh bermula sekitar RM2,708 dan meningkat kepada lebih RM7,389 pada peringkat akhir persaraan. 

Pada tahap Simpanan Dipertingkat sebanyak RM1.3 juta, pengeluaran bulanan boleh bermula kira-kira RM5,417 dan meningkat kepada sekitar RM14,779 sebulan menjelang umur 80 tahun.

Walaupun angka-angka ini bersifat ilustratif dan bukan jaminan pulangan, ia menunjukkan bagaimana pengeluaran berasaskan pendapatan dapat membantu simpanan persaraan bertahan jauh lebih lama berbanding pengeluaran sekali gus.

Bagi mengukuhkan kecukupan jangka panjang, KWSP turut menyemak semula dasar bagi ahli yang mempunyai baki simpanan lebih tinggi. Sebelum ini, simpanan melebihi RM1 juta boleh diakses dengan lebih bebas.

Di bawah pendekatan baharu, had pengeluaran ini akan dinaikkan secara berperingkat dan diselaraskan dengan tahap Simpanan Dipertingkat iaitu RM1.3 juta menjelang 2028. Ini bermakna RM1.3 juta pertama akan dipelihara untuk menyokong pendapatan persaraan jangka panjang, manakala jumlah melebihi paras ini dianggap lebihan dan boleh diakses dengan lebih fleksibel.

KWSP juga telah memperkukuh Skim Pelaburan Ahli (MIS). Ahli yang mempunyai simpanan melebihi paras Simpanan Asas mengikut umur masing-masing boleh melaburkan sehingga 30 peratus daripada lebihan tersebut dengan pengurus dana yang diluluskan oleh KWSP.

Langkah ini memberi peluang kepada penyimpan yang berdisiplin untuk mempelbagaikan pelaburan dan berpotensi memperoleh pulangan lebih tinggi, sambil memastikan tahap minimum simpanan persaraan terus dilindungi dalam KWSP.

Pengajaran dan batasan daripada Singapura

Dana Simpanan Pusat (CPF) Singapura secara automatik menukar sebahagian simpanan persaraan kepada bayaran bulanan tetap, sekali gus mengurangkan dengan ketara risiko pesara kehabisan simpanan sepanjang hayat mereka.

Walaupun pendekatan ini wajar dikaji, ia tidak boleh diterapkan secara menyeluruh di Malaysia. Ramai rakyat Malaysia bersara dengan baki simpanan yang lebih rendah dan masih memerlukan fleksibiliti untuk mengurus kos penjagaan kesihatan, komitmen hutang atau tanggungjawab keluarga.

Pendekatan yang lebih realistik untuk Malaysia ialah menjadikan bayaran bulanan sebagai pilihan ‘default’, sambil masih membenarkan pengeluaran sekali gus secara terhad, khususnya bagi mereka yang mempunyai baki simpanan kecil. 

Pilihan ‘default’ sangat penting. Bukti daripada kajian tingkah laku menunjukkan bahawa apa yang ditetapkan secara automatik selalunya akan menjadi pilihan utama.

Menilai semula umur pengeluaran dan jurang golongan pertengahan

Satu lagi isu sensitif tetapi semakin relevan ialah umur pengeluaran KWSP. Ramai rakyat Malaysia kini bekerja sehingga umur 60 tahun atau lebih, namun pengeluaran awal menggalakkan penggunaan simpanan persaraan ketika mereka masih mempunyai pendapatan.

Menaikkan umur pengeluaran secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya 60 tahun akan membolehkan simpanan terus dilaburkan untuk tempoh lebih lama dan seterusnya memperbaiki hasil persaraan.

Namun begitu, perubahan sedemikian perlu dilaksanakan dengan berhati-hati. Pekerja dalam sektor yang menuntut fizikal yang berat atau mereka yang berdepan masalah kesihatan masih memerlukan fleksibiliti.

Sebarang pelarasan perlu disertakan dengan pengecualian yang jelas, pelaksanaan secara berfasa serta komunikasi yang telus bagi mendapatkan penerimaan orang ramai.

Kecukupan persaraan menjadi lebih mencabar bagi pekerja gig dan suri rumah. Skim seperti i-Saraan Plus dan i-Suri telah memperluaskan perlindungan KWSP, namun penyertaan masih bersifat sukarela.

Sumbangan mandatori mungkin kelihatan menarik, tetapi ketidaktentuan pendapatan menyukarkan penguatkuasaan tanpa menjejaskan keperluan asas seperti makanan atau sewa rumah. Buat masa ini, sumbangan fleksibel yang disokong oleh insentif dan mekanisme padanan adalah lebih praktikal berbanding paksaan yang ketat.

Kebanyakan pembaharuan ini memerlukan pindaan kepada Akta KWSP, menjadikan kesedaran politik suatu perkara yang tidak dapat dielakkan.

Simpanan persaraan adalah perkara yang sangat peribadi dan sebarang dasar yang dilihat menyekat akses boleh mencetuskan penentangan. Namun, penangguhan pembaharuan membawa risiko jangka panjang.

Tanpa perubahan yang bermakna, lebih ramai rakyat Malaysia akan memasuki usia tua dengan pendapatan yang tidak mencukupi dan sokongan yang terhad. Malaysia tidak memerlukan pembaharuan radikal secara mendadak. Apa yang diperlukan ialah perubahan minda.

KWSP tidak lagi seharusnya dilihat sebagai ‘durian runtuh’ ketika bersara, sebaliknya sebagai sumber pendapatan sepanjang hayat. Rangka kerja RIA merupakan langkah pertama yang penting. Sama ada Malaysia mengambil langkah seterusnya akan menentukan sama ada pesara masa depan menua dengan maruah atau dengan kebimbangan kewangan.

 

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Sekolah Perakaunan & Kewangan, Fakulti Perniagaan & Undang-Undang, Universiti Taylor’s.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN