PUTRAJAYA: Rangka kerja komprehensif bagi Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka diumumkan pada suku pertama tahun ini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, beliau juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Singapura pada penghujung bulan ini.
“Kami sedang mengatur pertemuan antara saya dan menteri dari Singapura pada penghujung bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Menteri Ekonomi dan Perhimpunan Bulan Januari 2026 di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Malaysia dan Singapura melancarkan JS-SEZ dengan sasaran menarik 100 projek dalam tempoh 10 tahun.
JS-SEZ kini merangkumi kawasan pembangunan Iskandar, Forest City, Pengerang Integrated Petroleum Complex dan Desaru dengan keluasan tanah 357,128 hektar.
Wilayah pembangunan Iskandar turut meliputi Pusat Bandaraya Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai, dan Sedenak.
Ia juga memberi tumpuan kepada sektor keutamaan baharu seperti aeroangkasa, elektrikal dan elektronik, kimia, peranti perubatan, dan farmaseutikal. Selain itu, sektor lain seperti perkhidmatan perniagaan, ekonomi digital, penjagaan kesihatan, pembuatan, pelancongan, pendidikan, logistik, tenaga, dan keselamatan makanan turut diberi perhatian. – UTUSAN










