PUTRAJAYA: Pusat Rujukan Isu Sensitif Masyarakat (PRISMA) di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah memulakan operasinya tahun ini sebagai usaha menangani dan mengurus isu perpaduan secara lebih berkesan.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, beliau mengesahkan bahawa PRISMA juga telah mula menerima rujukan beberapa kes berkaitan isu sensitif masyarakat yang diterima daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau berkata, Jabatan Perpaduan dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional (JPNIN) akan menyelaras serta menyatupadukan semua mekanisme pengurusan isu perpaduan melalui PRISMA.
“Langkah ini bertujuan memastikan pendekatan yang sistematik, bersepadu dan strategik dalam menangani cabaran perpaduan,” katanya pada Majlis Amanat 2026 Kementerian Perpaduan di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Aaron berkata, kementerian juga akan memuktamadkan Kerangka Pengurusan Isu Perpaduan (IRM) sebagai dokumen induk bersepadu untuk menyelaras tindakan pelbagai agensi secara sistematik.
Selain itu, katanya, gerak kerja kementerian pada tahun ini akan difokuskan kepada lima kluster utama iaitu Tunas MADANI, Komuniti MADANI, Harmoni MADANI, Rakyat MADANI dan Warisan Negara.
Katanya, beberapa sesi libat urus, perbincangan meja bulat, sesi townhall serta penganjuran Persidangan Negara Bangsa pada September ini akan dilaksana bagi menghasilkan Blueprint Negara Bangsa untuk rujukan terutama kepada agensi kerajaan dalam membuat dasar dan inisiatif baharu.
“Tahun ini, kementerian juga akan berusaha untuk membentangkan Rang Undang-Undang Muzium Malaysia di Parlimen Malaysia,” katanya. – UTUSAN









