Program integrasi sambutan Tahun Baharu Cina, Deepavali di Putrajaya beri pendedahan generasi muda

Program integrasi sambutan Tahun Baharu Cina, Deepavali di Putrajaya beri pendedahan generasi muda

HANNAH Yeoh ketika Majlis Perasmian Hari Terbuka Putrajaya 2026 di Kompleks Perbadanan Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Satu program integrasi pengalaman sambutan Tahun Baharu Cina dan Deepavali dicadangkan untuk diperkenalkan di sini bagi memberi pendedahan kepelbagaian budaya kepada kanak-kanak yang membesar di pusat pentadbiran kerajaan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kekurangan kepelbagaian kaum khususnya melibatkan masyarakat Cina dan India di Wilayah Persekutuan ini menyebabkan sebahagian kanak-kanak di situ kurang terdedah kepada pengalaman menyambut perayaan utama negara.

“Satu lagi kita nak wujudkan (suasana) dan pengalaman kampung untuk anak-anak kecil kita di Putrajaya (kerana) kita di Putrajaya memang kekurangan warga Cina dan India.

“Jadi, kita juga nak wujudkan program integrasi supaya mereka tahu sambutan Tahun Baru Cina bukan sahaja ‘lion dance’, ada limau sahaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Putrajaya 2026 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hannah berkata, kerajaan turut meneliti cadangan untuk melaksanakan projek rintis kelas bahasa percuma untuk kanak-kanak di Putrajaya bagi memberi peluang kepada kanak-kanak belajar dan berlatih secara terbuka.

“Perdana Menteri telah meminta supaya rakyat Malaysia boleh menguasai tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan yang ketiganya cari bahasa Cina, Tamil ataupun Arab. Saya juga akan melihat sama ada kita boleh memberikan kelas-kelas percuma seperti ini untuk kanak-kanak kecil belajar,” ujarnya.

Bagaimanapun, Hannah menegaskan bahawa pembelajaran bahasa tidak berkesan jika hanya bergantung kepada teori tanpa peluang untuk mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN