GEORGE TOWN : Polis berjaya menahan empat suspek termasuk seorang wanita warga asing dan merampas pelbagai dadah yang dianggarkan bernilai RM2 juta dalam satu operasi di daerah Timur Laut di sini, bermula semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, operasi yang bermula pukul 1 petang dan berakhir kira-kira pukul 2 pagi tadi itu dijalankan oleh sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang.
Katanya, tangkapan pertama melibatkan dua orang suspek iaitu seorang lelaki tempatan dan wanita warga asing yang dikatakan bertindak sebagai ‘runner’ di sekitar pusat bandar George Town, di sini.
“Hasil soal siasat yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek kemudian membawa kepada penemuan tempat penyimpanan dadah di dalam sebuah tempat kereta tidak jauh daripada lokasi mereka ditangkap.
“Pemeriksaan seterusnya menjumpai empat buah beg dan satu kotak yang mengandungi lebih 12,151 gram serbuk dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA).
“Turut dijumpai ialah 41 peket plastik yang mengandungi serbuk putih dipercayai dadah jenis ketamin seberat 51.40 gram, 30 biji pil ekstasi dan 10 biji pil eramin-5,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Azizee berkata, polis kemudian berjaya membuat dua lagi tangkapan iaitu dua lagi lelaki tempatan yang dipercayai turut bertindak sebagai ‘runner’ susulan maklumat yang diberikan oleh dua suspek pertama.
“Hasil risikan mendapati, sindiket ini aktif sejak Julai tahun lepas dan jumlah dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan sehingga 50,000 kali atau oleh 50,000 orang,” ujar beliau.
Dalam pada itu katanya, tiga daripada tangkapan positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamin hasil satu ujian saringan air kencing yang dijalankan.
“Semakan juga mendapati, tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau kesalahan berkaitan jenayah dan dadah,” katanya yang memberitahu, kesemua suspek yang berusia antara 19 hingga 40 tahun itu direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN








