KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) berisiko dikenakan tindakan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) jika jawatan Pengerusi dimansuhkan.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana, pemansuhan jawatan Pengerusi bercanggah dengan Perlembagaan PN dan ia tidak boleh diubah sewenang-wenangnya.
“Jika dibuat sebarang perubahan, pihak berkuasa seperti ROS boleh mengambil tindakan kerana ia akan menjadikan gabungan ini tidak berperlembagaan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Parlimen, hari ini.
Semalam, bekas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, Pas dan Bersatu telah bersetuju untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula gabungan berkenaan dalam satu mesyuarat yang diadakan di kediamannya.
Muhyiddin turut mendakwa, mesyuarat itu mencapai persetujuan agar Bersatu mengetuai Majlis Presiden PN, manakala Pas pula memimpin jawatankuasa eksekutif gabungan tersebut.
Mesyuarat berkenaan dikatakan dihadiri beberapa pimpinan utama Pas termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, selain Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas.
Takiyuddin bagaimanapun menafikan dakwaan Pas dan Bersatu bersetuju untuk menghapuskan jawatan Pengerusi PN.
Beliau sebaliknya menegaskan bahawa, dalam pertemuan pada 16 Januari lalu, isu berkaitan kedudukan Pengerusi PN langsung tidak dibincangkan, apatah lagi diputuskan.
“Jika ada yang menganggap perkara itu telah dipersetujui, Presiden Pas sendiri dengan jelas menyatakan bahawa Pas tidak bersetuju jawatan Pengerusi PN dimansuhkan. Jawatan itu mesti kekal seperti yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya.
Beliau menjelaskan, perlembagaan PN memperuntukkan bahawa gabungan itu ditadbir oleh Majlis Tertinggi (MT) sebagai badan tertinggi, dan segala urusan pentadbiran PN hendaklah dilaksanakan melalui majlis berkenaan.
Mengulas pembatalan mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang sepatutnya berlangsung malam ini, Takiyuddin berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan percanggahan dan kekecohan berhubung isu yang dianggap kecil.
Menurutnya, Muhyiddin berpandangan mesyuarat luar biasa yang dipanggil oleh Timbalan Setiausaha Agung tidak wajar diteruskan dan perlu dibatalkan.
“Atas pertimbangan itu, saya mengeluarkan notis pembatalan bagi meredakan keadaan dan mengelakkan ‘ribut dalam cawan’,” katanya.
Takiyuddin turut menjelaskan bahawa mesyuarat berkenaan sukar diadakan kerana presiden-presiden parti komponen PN berada di lokasi berbeza dan tidak dapat hadir pada masa yang sama.
“Tidak mungkin seseorang berada di dua tempat berbeza pada tarikh dan masa yang sama. Itu rasional kita menangguhkan atau membatalkan mesyuarat tersebut,” katanya. – UTUSAN










