PMB umum dua agihan pendapatan dana syariah - Utusan Malaysia

PMB umum dua agihan pendapatan dana syariah

PMB Investment Berhad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PMB Investment Berhad (PMB Investment) mengumumkan pengagihan pendapatan bagi Amanah Saham MARA dan PMB Amanah Saham MARA Wholesale Sukuk Fund bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Amanah Saham MARA, yang sebelum ini dikenali sebagai PMB Shariah Tactical Fund, mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak empat sen seunit, berjumlah keseluruhan RM1.57 juta.

Jumlah ini meningkat berbanding tahun sebelumnya, iaitu 3.26 sen seunit.

Nilai Aset Bersih (NAB) seunit diselaraskan daripada RM0.6755 kepada RM0.6355, menjadikan hasil tahunan dana ini 5.73 peratus berdasarkan NAB penutup seunit pada 31 Disember 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Hang Tuah Amin Tajudin berkata, kepercayaan para pelabur adalah pendorong kumpulan.

“Peningkatan pengagihan kepada 4.00 sen seunit bagi tahun ini menunjukkan komitmen kami terhadap penghasilan nilai yang bermakna.

“Walaupun pasaran tidak menentu, pendekatan berdisiplin kami berjaya mencapai hasil kompetitif 5.73 peratus dan pulangan kumulatif 61.70 peratus bagi tiga tahun, sambil kekal mematuhi prinsip Syariah sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, PMB Amanah Saham MARA Wholesale Sukuk Fund, yang dahulunya dikenali sebagai PMB Wholesale Sukuk Fund, mencatatkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.96 sen seunit, berjumlah RM1.08 juta, melebihi angka tahun lepas iaitu 4.67 sen seunit.

NAB sebelum pengagihan adalah RM1.1617 seunit, diselaraskan kepada RM1.1021 seunit selepas pengagihan, mewakili hasil sebanyak 5.40 peratus bagi tahun kewangan tersebut.

Hang Tuah menambah, PMB Amanah Saham MARA Wholesale Sukuk Fund menunjukkan prestasi konsisten dengan hasil 5.40 peratus dan pulangan kumulatif 14.43 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, ini membuktikan keberkesanan strategi pendapatan tetap kumpulan, di mana pengurus dana komited mencari pelaburan sukuk berkualiti yang menawarkan pulangan terbaik kepada pelabur tanpa mengira keadaan pasaran.

Dana sukuk ini merupakan dana sukuk pertama PMB Investment dan telah dilancarkan sempena Sambutan Hari MARA ke-49 pada 2015.

Kedua-dua pengagihan telah dikreditkan pada 31 Disember 2025, dengan tarikh pelaburan semula ditetapkan pada 2 Januari 2026. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×