Piala Malaysia: Perak FA kejutkan KL City FC 2-0 - Utusan Malaysia

Piala Malaysia: Perak FA kejutkan KL City FC 2-0

GAMBAR IHSAN PERAK FA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Perak FA melakukan kejutan dengan menumpaskan KL City FC 2-0 dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung di sini hari ini.

Walaupun kemenangan tersebut belum menjamin kemaraan ke pusingan kedua tetapi anak buah Syamsol Saad patut menerima pujian di atas kekentalan semangat mereka hingga berjaya mengatasi lawan yang lebih berpengalaman.

Ini kerana tiada siapa yang memberi peluang kepada pasukan Perak, yang beraksi dalam Liga A1 akan dapat menyaingi apatah lagi melakukan kejutan ke atas pasukan Liga Super itu.

Kesilapan benteng pelawat membolehkan Ahmad Daniel Hakimi meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-11.

Pemain itu mengejar bola hantaran ke belakang oleh pemain pertahanan KL City dan mudah menewaskan penjaga gawang, Quincy Julian Kammraad untuk Perak mendahului 1-0.

KL City berusaha gigih untuk bangkit tetapi pemain tuan rumah yang mendapat sokongan 5,000 penyokong cekal bertahan.

Penjaga gol tuan rumah, Ahmad Syazwan Syazany bertindak cemerlang untuk mengawal kubunya daripada dibolosi pelawat.

KL FC mencuba dengan sehabis tenaga tetapi gagal mendapat gol walaupun menguasai perlawanan. 90 peratus.

Sebaliknya tuan rumah menambah luka pelawat apabila Muhammad Fadhil Muhammad Azmi menambah jaringan pada minit ke-53.

Gol itu nyata menyemarak semangat juang tuan rumah yang berjuang bermati-matian untuk menyekat lawan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN