KINABATANGAN: Peti undi pertama dari Sekolah Kebangsaan (SK) Inarad tiba di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) Dewan Sri Lamag di sini, pada pukul 2.12 petang tadi menggunakan helikopter.
Pusat Pengundian SK Inarad ditutup tepat pukul 12 tengah hari.
Pertandingan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Ismail Ayob dan calon Parti Warisan (Warisan), Mazliwati Abdul Malek.
Sementara itu, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan, persaingan tiga penjuru membabitkan Mohd. Kurniawan Naim Moktar (BN); bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan calon Bebas, Goldam Hamid.
Sementara itu, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi sehingga pukul 3 petang mencatatkan 50.37 peratus bagi Parlimen Kinabatangan manakala DUN Lamag merekodkan 55.16 peratus. – UTUSAN










