Perpaduan Melayu mesti berpaksikan nilai Madani - Mujahid

Perpaduan Melayu mesti berpaksikan nilai Madani – Mujahid

MUJAHID YUSOF RAWA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perpaduan orang Melayu perlu berpaksikan nilai Madani dan rahmah, bukan politik kebencian serta amarah, kata Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, Amanah sentiasa terbuka terhadap sebarang usaha memartabatkan perpaduan ummah.

“Bagi kami, sebarang kerjasama politik mempunyai garis merah (red lines) yang tidak boleh dilanggar.

“Pertamanya, perpaduan mestilah bersifat inklusif dan tidak berteraskan assabiyah atau perkauman sempit.

“Kekuatan Melayu seharusnya dimanfaatkan untuk melindungi semua rakyat Malaysia, selaras dengan prinsip Rahmatan lil ‘Alamin yang kami perjuangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mujahid berkata, Amanah turut menolak sebarang bentuk kerjasama yang dijadikan sebagai “perisai” untuk melindungi individu daripada tindakan undang-undang atau menutup isu integriti.

“Tiada langkah ‘tebuk atap’. Sebarang usaha penyatuan tidak boleh digunakan untuk menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan atau dieksploitasi oleh pihak terdesak sebagai taktik pintu belakang. Mandat rakyat wajib dihormati,” katanya.

Menurutnya, cara terbaik untuk menyatukan bangsa adalah dengan membuktikan bahawa kepimpinan Melayu merupakan kepimpinan qudwah (teladan) yang paling adil dan amanah untuk semua.

Katanya, Amanah percaya kepimpinan yang berteraskan integriti, keadilan serta nilai rahmah mampu menjadi asas kukuh kepada perpaduan nasional yang sebenar.

“Rakyat mahukan hasil yang substantif melibatkan penyelesaian isu ekonomi, sosial dan pendidikan, bukannya sekadar konsolidasi kuasa elit politik Melayu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×