Perniagaan tempatan perlu reformasi segera

Perniagaan tempatan perlu reformasi segera

STEVEN Sim ketika menyampaikan ucapan sempena peluncuran Hari Jenama Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Reformasi segera perlu dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan perniagaan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tegas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata, pendekatan ‘perniagaan seperti biasa’ tidak lagi relevan dalam landskap ekonomi global yang semakin kompetitif dan jika amalan lama diteruskan tanpa perubahan struktur, ia hanya akan membawa kepada kegagalan perniagaan.

“Perniagaan seperti biasa bermaksud business out of business. Jika ada masa yang paling tepat untuk melakukan reformasi, masanya adalah sekarang, sama ada demi kelestarian ekonomi atau untuk kelangsungan hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada peluncuran Hari Jenama Malaysia 2026, di sini, semalam.

Hari Jenama Malaysia yang julung kali diadakan merupakan pameran jenama kebangsaan pertama Malaysia.

Ia diadakan untuk mempamerkan jenama tempatan dan menggalakkan rakyat Malaysia membeli produk yang dihasilkan, dikeluarkan dan dipasarkan secara tempatan.

Mengulas lanjut, Steven berkata, Malaysia memiliki kelebihan strategik yang jarang dimiliki negara lain kerana terletak di tengah-tengah tiga zon kuasa ekonomi global utama, sekali gus membuka peluang besar kepada perniagaan tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Meskipun geografi Malaysia berada pada kedudukan yang sangat strategik, kejayaan memanfaatkan peluang tersebut bergantung kepada keupayaan pemain industri tempatan, khususnya jenama Malaysia, untuk memacu kreativiti dan inovasi.

“Dalam konteks jangka panjang, kita perlu menilai semula model ekonomi lama yang terlalu bergantung kepada konsep dibuat di Malaysia, di mana pelabur asing membina kilang dan menghasilkan produk kos rendah.

“Untuk 50 tahun akan datang, kita perlu beralih kepada model baharu yang saya sebut sebagai buatan Malaysia. Ini bermaksud kita perlu beralih daripada menjadi pusat kos kepada pusat nilai.

“Pendekatan baharu ini menuntut perniagaan tempatan bukan sekadar menghasilkan produk, sebaliknya membina jenama yang mampu bersaing di peringkat global,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan reformasi menyeluruh dan perubahan minda dalam kalangan kerajaan serta industri adalah kunci untuk memastikan jenama Malaysia mampu bertahan dan berkembang dalam ekonomi global yang semakin mencabar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN