PUTRAJAYA: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) fasa pertama serta setaraf boleh memohon kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada 29 Januari hingga 23 Mac depan melalui UPUOnline.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, ia bagi kemasukan Sesi Akademik 2026/2027 bagi program sijil, asasi, diploma dan ijazah sarjana muda di 20 Universiti Awam (UA), 36 Politeknik, 106 Kolej Komuniti (KK) dan dua (2) institusi dari Majlis Amanah Rakyat (Mara) Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).
Menurut kenyataan itu, permohonan dibuka bagi peringkat seterusnya pada 13 April hingga 15 Mei depan bagi Fasa Kedua Lepasan STPM dan setaraf.
“Permohonan terbuka kepada pelajar Lepasan SPM dan STPM/ setaraf bagi semua program pengajian pada Fasa Permohonan Lepasan SPM dan Fasa Pertama Lepasan STPM/ setaraf.
“Manakala hanya program pengajian yang tidak bertemu duga atau ujian sahaja dibuka pada permohonan Fasa Kedua Lepasan STPM/ setaraf,” katanya hari ini.
Pembelian No. Pin UPUOnline® boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 28 Januari sebelum mengemukakan permohonan dengan harga RM 10.60 (termasuk cas perkhidmatan).
Kaedah bayaran No. Pin UPUOnline® di BSN adalah melalui 387 Kaunter Cawangan BSN selain 843 Automatic Teller Machine (ATM) BSN dan Perbankan Internet myBSN.
KPT berkata, BSN akan mengeluarkan No. Pin UPUOnline® beserta salinan resit pembayaran.
“Sila pastikan slip pembayaran sebagai bukti sah pembelian disimpan untuk rujukan,” katanya. – UTUSAN










