Penyeludup terjun laut, 6,000 liter petrol dirampas Maritim

Penyeludup terjun laut, 6,000 liter petrol dirampas Maritim

ANGGOTA Maritim Malaysia memeriksa tong plastik berwarna biru berisi petrol yang ditemukan atas sebuah bot pam di perairan Kudat, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUDAT: Cubaan menyeludup keluar sejumlah 6,000 liter petrol ke negara jiran menggunakan sebuah bot pam di perairan Kudat di sini, kelmarin berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, ketika dipintas, tiga individu yang berada atas bot bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran.

Katanya, ia bergerak perlahan dan mencurigakan pada jarak kira-kira 1.5 batu nautika dari Tanjung Kalutan, Pulau Balambangan sebelum Bot Kilat 48 diarahkan ke lokasi bagi pemeriksaan lanjut.

“Bot pam itu dikesan hasil maklumat risikan daripada Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) ketika kita sedang melaksanakan Op Sejahtera, Op Tiris, Op Pluto Timur dan Op Cegah PATI,” katanya.

Hasbullah berkata, bot itu membawa 25 tong plastik berwarna biru berisi petrol dengan anggaran keseluruhan 6,000 liter.

“Muatan bahan api itu dipercayai dibawa tanpa permit yang sah dan disyaki untuk tujuan pasaran gelap atau diseludup ke negara jiran berhampiran,” katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa kebenaran atau permit yang sah. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN