SHAH ALAM: Maestro muzik dan juri Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12), Datuk Ramli MS, memberi teguran pedas kepada penyanyi khususnya peserta program realiti supaya memiliki lagu hit sekiranya mahu terus bertahan dalam industri seni tanah air.
Ramli atau mesra disapa Tok Ram menegaskan, kualiti vokal semata-mata tidak menjamin kelangsungan kerjaya seseorang penyanyi jika gagal mempertaruhkan karya yang mampu ‘melekat’ di telinga pendengar.
“Nasihat saya, penyanyi kalau tidak ada lagu hit, baik nyanyi di karaoke sahaja. Kalau hendak cari kerja atau tawaran persembahan, anda mesti ada lagu hit.
“Bukan sekadar keluarkan single demi single tetapi semuanya tidak menjadi. Itu tidak boleh,” katanya pada sidang media selepas konsert akhir GV12, semalam.
Mengulas lanjut, Tok Ram berkata kekuatan sesebuah lagu hit mampu melangkaui populariti penyanyinya, malah pendengar biasanya jatuh cinta kepada melodi terlebih dahulu sebelum mengenali pemilik suara.
“Lagu hit ini penting. Apabila orang berada di dapur atau memandu kereta, mereka dengar lagu itu sedap. Mereka tidak akan tanya siapa penyanyinya dahulu, sebaliknya berkata, ‘sedapnya lagu ini’, kemudian barulah mencari siapa yang menyanyikannya.
“Sebab itu saya katakan, sama ada penyanyi baharu atau lama yang mahu bertahan, anda perlu ada ‘intelektual’, iaitu lagu baharu yang berkualiti. Jika tiada, buatlah apa sekali pun, jawapannya tetap tidak,” ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas perkembangan Iskandar Ismail sebagai juara GV12, Tok Ram mengakui penyanyi tersebut melalui proses pembelajaran yang besar sepanjang pertandingan.
Menurutnya, Iskandar tampil pada minggu pertama dengan imej yang sangat menonjol, namun memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran industri muzik tempatan yang berbeza.
“Minggu pertama dia sangat ‘berlampu’ kerana suasana di GV dan tempat asalnya tidak sama. Di sini, dia berdepan dengan apa yang betul dan apa yang salah, lalu belajar banyak perkara.
“Bukan dia sahaja, malah ramai peserta lain turut belajar sehingga minggu ke-12. Namun yang paling penting sekarang ialah apa yang bakal mereka hidangkan selepas ini,” katanya.
Terdahulu, Iskandar Ismail dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) dan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, selain set ruang tamu tajaan Empire Reka serta trofi kemenangan. – UTUSAN










