Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia berada di peringkat akhir

Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia berada di peringkat akhir

ZULKIFLI HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usaha penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia (JPSM) di peringkat Persekutuan bertujuan menyelaras dan memperkasa fungsi jabatan pendakwaan syariah di setiap negeri kini berada di dalam peringkat akhir persediaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, JPSM akan dibentangkan untuk Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bagi mendapatkan kelulusan dasar.

Kata beliau, selepas itu cadangan untuk menubuhkan jabatan tersebut akan dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan seterusnya diangkat ke Majlis Raja-Raja untuk diperkenan.

“Terkini kita akan mengadakan satu mesyuarat dalam masa terdekat, bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membincangkan isu-isu teknikal cadangan penubuhan JPSM secara terperinci.

“Matlamat utama cadangan penubuhan JPSM adalah untuk mengaplikasikan prinsip pengasingan kuasa yang diamalkan di Malaysia dalam melaksanakan penyelarasan dan penyeragaman.

“(Terutama) dalam perkara-perkara yang melibatkan fungsi perundangan jenayah syariah, pentadbiran, latihan, kompetensi dan profesionalisme supaya pendakwaan syariah di Malaysia dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini bagi menjawab Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) sejauh manakah kesediaan kerajaan untuk mewujudkan JPSM.

Menjawab soalan tambahan, Zulkifli berkata, prestasi Mahkamah Syariah menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan kadar penyelesaian kes, khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Bagi tempoh 2019 hingga 2025, sebanyak 9,387 kes direkodkan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam manakala 858 kes di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 dengan banyak kes berjaya diselesaikan dengan lebih pantas.

“Bertepatan peranan utama penubuhan JPSM, ia bagi ditubuhkan bagi pemusatan data dan statistik pendakwaan syariah di peringkat nasional, penyelarasan tatacara pendakwaan serta penggubalan arahan amalan Ketua Pendakwa Syarie bagi mengurangkan isu backlog kes,” katanya.

Menjawab soalan Datuk Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berkenaan sejauh mana libat urus dilakukan bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa negeri, Zulkifli berkata, secara prinsip majoriti negeri bersetuju dengan penubuhan JPSM.

“Sesi libat urus menyeluruh telah diadakan bersama kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri, kebanyakan negeri memberi maklum balas bertulis hasil daripada perbincangan yang sudah diadakan.

“Secara prinsipnya, majoriti bersetuju dengan penubuhan JPSM, namun pelaksanaannya perlu diperincikan bagi memastikan manfaat bersama serta menjamin kebebasan, integriti dan kewibawaan institusi pendakwaan Syariah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN