KUALA LUMPUR: Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Peniagawati) terus memperkukuh peranannya sebagai pemacu ekonomi wanita dengan pelancaran struktur cawangan negeri dan wilayah serta agenda pemerkasaan global.
Struktur baharu sempena ulang tahun penubuhan ke-45 itu bertujuan memperkasa usahawan wanita di kawasan luar bandar dan pinggir bandar melalui akses latihan, pembiayaan, rangkaian pasaran serta pemindahan teknologi.
Presidennya, Datuk Emmy Suraya Hussein berkata, pelancaran cawangan tersebut menandakan peralihan penting persatuan ke fasa pertumbuhan yang lebih inklusif dan mampan.
“Peniagawati bukan sekadar sebuah persatuan, sebaliknya wadah strategik bagi wanita yang komited mencorak landskap ekonomi negara. Dengan pelancaran cawangan-cawangan nasional ini, kami memastikan tiada usahawan wanita yang ketinggalan dalam mendepani cabaran ekonomi digital dan perkembangan Kecerdasan Buatan (AI),” katanya dalam ucaptama semasa Majlis Minum Petang Diraja di sini hari ini.
Majlis penuh istiadat itu diserikan dengan keberangkatan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim.
Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Toh Puan Raja Datuk Seri Utama Noora Ashikin Raja Abdullah.
Emmy Suraya turut berkongsi kejayaan misi dagang antarabangsa ke Asia Barat dan beberapa negara jiran yang menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) strategik.
“Inisiatif itu membuka laluan kepada produk ahli Peniagawati untuk menembusi rangkaian pasar raya antarabangsa, sekali gus mengangkat kredibiliti jenama usahawan wanita Malaysia di persada global.
“Peniagawati juga menekankan keseimbangan antara keuntungan perniagaan dan tanggungjawab sosial melalui pelaksanaan program kebajikan seperti Tabung Rahmah, selari dengan agenda ekonomi berteraskan nilai dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Kehadiran tetamu diraja tersebut menjadi simbolik penghormatan tertinggi kepada seluruh usahawan wanita di bawah naungan Peniagawati yang kini diiktiraf sebagai platform usahawan wanita tertua dan paling berpengaruh di Malaysia. –UTUSAN










