Pengerusi PN mesti boleh satukan semua parti

Pengerusi PN mesti boleh satukan semua parti

PN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Siapa pun yang diberi tanggungjawab untuk menggalas jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu nanti mestilah boleh menyatupadukan semula parti-parti komponen dalam PN ketika ini.

Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan menegaskan, perkara itu sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Ini penting kerana kita akan berhadapan dengan jentera daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRU16 nanti,” katanya yang berharap PN akan membuat kejutan dalam pilihan raya itu khususnya di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Muhammad Fawwaz berkata, apapun keputusan siapa bakal dilantik Pengerusi PN, perkara berkenaan perlu dibincang dan dipersetujui secara bersama dalam mesyuarat pimpinan PN terlebih dahulu.

Katanya, apa saja keputusan (pimpinan) PN dalam mesyuarat itu nanti, Pas akan ikut sama ada Pas sebagai ketua atau PN melantik Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin jadi pengerusi, pun Pas akur.

“Sebenarnya, hubungan kita dengan parti Bersatu pun masih elok, bak kata Tuan Guru Presiden (Abdul Hadi). Melainkan yang letak jawatan itu atas sebab perkara-perkara lainlah. Apapun, kita tunggu keputusan mesyuarat minggu depanlah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, nama Menteri Besar Kedah merangkap Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor disebut-sebut calon yang sesuai untuk mengetuai PN selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin

Yassin dan perkara itu dipersetujui oleh Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya.

Bagaimanapun, Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Ka­maruddin Md. Noor pula berpandangan bahawa Abdul Hadi yang akan dilantik kerana berdasarkan Perlembagaan PN, mereka yang mengetuai parti tersebut sepatutnya terdiri daripada ketua parti masing-ma­sing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN