TELUK INTAN: Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang bayi perempuan, minggu lalu.
Tertuduh, Aisah Bee Zailapdin, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffuddin.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas seorang bayi perempuan berusia lima bulan telah bertindak secara cuai sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Taman Desa Bernam, Hutan Melintang di dalam daerah Bagan Datuk antara pukul 7.30 pagi hingga 2.05 petang, 8 Januari 2026.
Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau dengan denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Hakim Norhamizah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu keluarga mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 12 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, mangsa yang dihantar ke rumah pengasuh oleh ibunya pada pukul 7.30 pagi, 8 Januari lalu telah dikejarkan ke hospital selepas berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.
Berdasarkan hasil imbasan X-ray yang dijalankan, mangsa didapati telah tersedak susu sehingga menyebabkan saluran pernafasannya menyempit.
Mangsa yang dimasukkan ke dalam wad untuk pemantauan dan hasil pemeriksaan lanjut juga mengalami pendarahan kecil di kedua-dua mata serta pendarahan dan keretakan kecil di bahagian belakang kepala yang berpunca daripada ‘shaken baby syndrome’. – UTUSAN










