Penangguhan parkir pintar ditarik semula, penambahbaikan berdasarkan pandangan awam - Utusan Malaysia

Penangguhan parkir pintar ditarik semula, penambahbaikan berdasarkan pandangan awam

IZIZAM Ibrahim (sebelas dari kanan) bergambar bersama selepas Sesi Townhall dan Program Sebaran Dasar Pemajuan MPK Tahun 2026 di Hotel Putra Regency, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penangguhan pelaksanaan parkir pintar di negeri ini ditarik semula namun pengoperasiannya masih belum berjalan sehingga Majlis Perbandaran Kangar (MPK) selesai mengumpulkan pandangan awam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Izizam Ibrahim berkata, pada masa ini, kerajaan negeri akan meneliti terlebih dahulu beberapa penambahbaikan sebelum meneruskan pengoperasian parkir pintar.

Beliau berkata, pandangan awam yang diperolehi menerusi sesi townhall dijangka dilaksanakan sebelum bulan Ramadan nanti akan digunakan bagi melakukan penambahbaikan terhadap pelaksanaan sistem tersebut.

“Kerajaan negeri akan teruskan juga parkir pintar namun kita akan laksanakan dulu penambahbaikan daripada dapatan yang diperolehi agar dapat diterima semua pihak,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Townhall dan Program Sebaran Dasar Pemajuan MPK Tahun 2026 di Hotel Putra Regency di sini hari ini.

Julai tahun lalu, kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan sistem parkir pintar di Perlis selama enam bulan bagi memberi ruang kepada penambahbaikan oleh syarikat pengendali.

Izizam berkata, kerajaan negeri juga akan berbincang terlebih dahulu bersama syarikat pengendali parkir pintar bagi menyelaras semula pelaksanaan tersebut dengan lebih teratur.

“Daripada segi sistem pembayaran, itu semua sudah lengkap. Cuma kita hendak laksanakan penyebaran maklumat kepada orang awam agar dapat dilakukan penambahbaikan mengikut kesesuaian. Penambahbaikan ini juga bergantung kepada pandangan masyarakat selepas ini kerana mungkin ada kawasan yang kena buang palang dan mungkin juga ada kawasan boleh guna cara lain,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menyambut baik usaha kerajaan negeri yang menyokong bagi menyelesaikan isu berkaitan pelaksanaan parkir pintar tersebut.

Menurut beliau, MPK dan kerajaan negeri berhasrat untuk menyelesaikan perkara itu dengan memberi situasi menang-menang kepada semua pihak.

“Kita tidak mahu pelaksanaan ini tergantung dan dapat diteruskan dengan mengambil kira pandangan semua pihak,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN