PETALING JAYA: Pemuda Pas Selangor mendesak pihak berkuasa ambil tindakan segera terhadap penganjuran program tular di media sosial yang didakwa mempromosikan gaya hidup bercanggah dengan nilai masyarakat dan undang-undang negara.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, program itu secara terang-terangan memaparkan normalisasi ideologi jantina yang bertentangan dengan nilai agama, budaya serta kerangka perundangan Malaysia.
“Malaysia bukan negara tanpa nilai, Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, manakala norma masyarakat dibina atas asas akhlak, keluarga dan kesejahteraan sosial,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Sukri, isu tersebut tidak boleh dianggap sebagai semata-mata soal kebebasan individu kerana turut menyentuh aspek ketenteraman awam, keselamatan sosial serta perlindungan generasi muda.
“Lebih membimbangkan apabila wujud unsur propaganda gaya hidup songsang secara terbuka, terancang dan berunsur pengaruh sosial,” katanya.
Ekoran itu dia menggesa pihak berkuasa menyiasat penganjuran program berkenaan dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.
“Negara tidak boleh mengetepikan isu ini lagi atas nama toleransi hingga menggadaikan nilai, akhlak dan masa depan masyarakat. Toleransi bukan bermaksud membenarkan kemungkaran secara terbuka,” tegasnya.
Sukri turut menyeru semua pihak menghormati undang-undang negara dan tidak membawa masuk ideologi asing yang bercanggah dengan jati diri Malaysia.- UTUSAN










