PETALING JAYA: Pemuda Pas Malaysia menyuarakan bantahan terhadap penganjuran Water Musical Festival di Bukit Bintang selama tiga hari bermula 1 Mei depan sempena Sambutan Hari Pekerja Pelancongan dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Pemuda Pas Malaysia, Mohamed Sukri Omar berkata, meskipun menyokong aspirasi kerajaan untuk memperkukuh sektor pelancongan dan merancakkan ekonomi domestik, bantahan itu dibuat atas prinsip, fakta dan tanggungjawab, khususnya berkaitan pemilihan lokasi serta bentuk penganjuran festival berkenaan.
Katanya, Bukit Bintang merupakan pusat perniagaan dan pergerakan awam yang kritikal serta digunakan setiap hari oleh ribuan pekerja, peniaga, penduduk setempat dan pengguna pengangkutan awam.
“Penutupan jalan selama tiga hari di kawasan ini akan memberi kesan besar kepada mobiliti bandar, operasi perniagaan kecil, keselamatan awam dan keselesaan orang ramai termasuk pelancong keluarga serta warga emas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, konsep festival air terbuka dan hiburan jalanan berskala besar perlu dinilai dengan lebih teliti dari sudut nilai, adab serta sensitiviti budaya tempatan khususnya dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan Islam sebagai agama Persekutuan.
Katanya, penganjuran acara di kawasan sesak juga disifatkan berisiko dari segi keselamatan, kesihatan awam dan penguatkuasaan termasuk kemungkinan kesesakan melampau, kecederaan, vandalisme, pencemaran dan gangguan moral.
“Pendekatan pelancongan tidak seharusnya dilihat hanya melalui lensa hiburan, sebaliknya mesti berpaksikan kelestarian, kesejahteraan masyarakat dan imej negara,” katanya.
Mohamed Sukri berkata, bantahan tersebut bukan penolakan terhadap TMM2026, sebaliknya selari dengan matlamat kempen itu yang menonjolkan identiti budaya, warisan dan perayaan berteraskan nilai tempatan seperti Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baharu Cina, Gawai dan Tadau Kaamatan.
Katanya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kerajaan Persekutuan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa supaya menilai semula penganjuran Water Musical Festival dari segi lokasi, skala dan bentuk acara.
“Kami berharap MOTAC mengadakan sesi libat urus bersama penduduk, peniaga serta pihak berkepentingan setempat.
“Kekuatan utama Malaysia sebagai destinasi pelancongan bukan terletak pada pesta jalanan atau hiburan bebas, sebaliknya pada budaya, adab, warisan dan identiti ketimuran yang menjadi jati diri negara.
“Pelancongan yang berjaya bukan yang paling bising dan sensasi, tetapi yang berakar pada nilai, berteras budaya dan berwajah Malaysia,” katanya. – UTUSAN










