PETALING JAYA: Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) akan dilanjutkan sehingga penghujung tahun depan susulan impak konflik di Asia Barat yang menjejaskan kedatangan pelancong ke negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dicapai melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Induk VM2026 Kali Ke-2 yang berlangsung hari ini dan akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan serta persetujuan selanjutnya.
Menurut beliau, keputusan itu diambil bagi membolehkan Malaysia mengambil pendekatan proaktif dalam memperkukuh strategi promosi, menonjolkan negara sebagai destinasi yang selamat, stabil dan berdaya saing serta merebut peluang daripada perubahan corak perjalanan pelancong.
“Langkah ini turut mengambil kira perkembangan semasa, termasuk konflik yang tercetus pada 28 Februari lalu di Timur Tengah yang telah memberi kesan ketara terhadap kestabilan serantau serta menjejaskan sektor pelancongan global.
“Unjuran menunjukkan ketibaan pelancong dari Timur Tengah boleh merosot antara 11 peratus hingga 27 peratus, bersamaan kehilangan sehingga 38 juta pelawat dan kerugian mencecah AS$56 bilion (RM263.2 bilion).
“Ini memberi kesan kepada negara-negara tumpuan pelancongan di Asia dan ASEAN,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid berkata, konflik itu sudah mengganggu laluan penerbangan antarabangsa, meningkatkan kos perjalanan dengan kenaikan harga minyak dan kos pengangkutan.
Katanya, keadaan itu juga menurunkan keyakinan pelancong yang dijangka memberi implikasi kepada aliran pelancongan dunia dalam jangka masa terdekat.
Sementara itu, katanya, Jawatankuasa Kebangsaan Induk VM2026 terdiri daripada enam jawatankuasa kerja yang diterajui oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Komunikasi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pengangkutan dengan keanggotaan daripada pelbagai agensi kerajaan berkaitan.
Ahmad Zahid berkata, setiap kementerian dan agensi telah membentangkan pencapaian program serta perancangan aktiviti sempena kempen VM2026.
“Kerajaan komited memastikan VM2026 dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh, dengan setiap pihak memainkan peranan secara bersepadu.
“Usaha ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik, menarik lebih ramai pelawat, meningkatkan tempoh penginapan serta perbelanjaan pelancong dan menonjolkan Malaysia sebagai destinasi selamat, stabil serta berdaya saing,” katanya. –UTUSAN










