Ummi Nazeera keluar zon selesa - Utusan Malaysia

Ummi Nazeera keluar zon selesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Ummi Nazeera, 35, menyatakan kesediaan untuk meneroka lebih banyak watak dan jalan cerita yang berbeza dengan yang pernah dibawakannya sebelum ini.

Ummi atau nama sebenarnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin berharap langkah itu dapat membantunya keluar dari zon selesa dan kepompong stereotaip.

“Tahun ini saya berlakon filem seram yang agak berat kerana melibatkan banyak babak aksi. Agak lama saya tidak berdepan cabaran sebegini. Kali terakhir adalah menerusi filem Penanggal pada 2013.

“Sebagai anak seni, saya kena sentiasa mencabar kemampuan diri. Contohnya, walaupun saya ini penakut, tapi saya tetap berlakon filem seram.

“Kalau boleh saya tak mahu berulang kali melakonkan watak atau jalan cerita yang sama. Kelak hilang motivasi.

“Peminat minta saya cuba watak yang lain. Mereka mahu melihat kemampuan saya dalam membawakan watak berbeza. Jadi saya terpanggil untuk pecahkan stereotaip itu,” katanya yang ditemui di set penggambaran drama Pak Su Ammara baru-baru ini.

Disoal mengenai drama air mata, Ummi mengesahkan telah menerima beberapa tawaran namun belum membuat sebarang keputusan.

“Saya belum mengatakan persetujuan, masih pertimbangkan sebab tahun ini saya mahu beri laluan untuk watak dan penceritaan yang berbeza seperti filem seram,” kongsinya.

Mengulas tentang Pak Su Ammara, ibu kepada dua cahaya mata itu gembira kerana akhirnya berpeluang bekerjasama dengan Que Haidar yang memegang peranan utama dalam drama tersebut.

“Que pelakon yang hebat dan banyak membantu. Saya belajar banyak perkara tentang lakonan darinya.

“Saya tak pernah terfikir yang kami akan berlakon bersama sebab dia pun dah lama berehat daripada dunia lakonan dan jarang muncul dalam drama episod.

“Saya tak nafikan sedikit gemuruh apabila Que memaklumkan dia juga sudah lama mahu bekerja dengan saya. Dia pelakon hebat dan berbakat besar,” kongsinya.

Pak Su Ammara ditayangkan bermula semalam menerusi slot Mega Drama saluran Astro Ria. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN