PETALING JAYA: Tahap pemikiran umat Islam di negara ini masih belum mencapai kemajuan yang diharapkan, terutama dalam membentuk masyarakat yang progresif, seimbang dan dinamik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, antara cabaran utama kini ialah memupuk pemikiran umat Islam selaras dengan prinsip wasatiyyah dan maqasid, bagi memastikan pendekatan yang matang tanpa bersifat emosional dalam menghadapi perbezaan dan cabaran semasa.
“Namun begitu, ada satu perkara yang belum lagi pada saya, mencapai tahap yang kita inginkan. Iaitu tahap pemikiran rakyat.
“Tahap pemikiran umat Islam yang berkemajuan, yang progresif, yang dinamik, yang wasatiyyah, yang maqasid, yang rahmah. Ini belum lagi. Padahal ini yang kita cuba lakukan.
“Alhamdulillah saya ucapkan tahniah kepada Ikram (Pertubuhan Ikram Malaysia). Ini akan menjadi satu pemangkin kepada usaha kita untuk membawa pemikiran rakyat yang rahmah, yang bukan marah-marah,” katanya dalam ucapan sempena Pembentangan Laporan Kajian Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) 2025, hari ini.
IMNR dibangunkan oleh IKRAM bagi menilai tahap kemajuan negara ke arah merealisasikan aspirasi sebagai Negara Rahmah sejak diperkenalkan pada 2021.
Edisi 2025 disusun semula berasaskan tiga dimensi utama iaitu politik, ekonomi dan sosial, selari dengan kerangka Madani, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata, masyarakat perlu memberi tumpuan kepada usaha mengajak kepada kebaikan dan mengelak perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan serta kesan negatif.
“Saya menasihatkan semua supaya mengambil pendekatan rahmah, mengajak kepada kebaikan dan mengelakkan perkara tidak baik. Barangkali usaha ke arah kebaikan perlu diperbanyakkan, maka sebarang ajakan yang boleh mengelirukan perlu dielakkan,” katanya.
Beliau mengulas tindakan pengguna media sosial yang mengajak umat Islam supaya tidak membayar zakat dan melaksanakan wakaf di Selangor, susulan isu pencerobohan tanah perkuburan Islam di PJS4, Petaling Jaya, yang disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab serta mengelirukan masyarakat. – UTUSAN










