Pemandu boleh mohon lesen fizikal tanpa perlu tunjuk bukti keluar negara mulai esok

Pemandu boleh mohon lesen fizikal tanpa perlu tunjuk bukti keluar negara mulai esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemandu kenderaan yang ingin melancong dan memandu di luar negara boleh memohon kad fizikal Lesen Memandu Malaysia (LMM) tanpa keperluan menunjukkan sebarang bukti keluar negara bermula esok.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan memaklumkan, permohonan itu boleh dibuat dengan kadar fi cetakan RM20 untuk warganegara Malaysia dan RM100 untuk bukan warganegara Malaysia.

Katanya, orang ramai mempunyai pilihan untuk memohon cetakan kad fizikal LMM di semua kaunter JPJ dan UTC seluruh negara, secara terbuka dan tidak terhad kepada kategori yang ditetapkan pada sebelum ini.

“Sebagai langkah mengurangkan karenah birokrasi, JPJ telah diarahkan agar tidak lagi meminta bukti keluar negara,” katanya hari ini.

Menurut MOT, dasar sedia ada yang menawarkan pilihan kepada kumpulan sasar untuk mendapat LMM fizikal secara percuma adalah dikekalkan.

Ini seperti kumpulan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas; pemegang Lesen Kelas A1 dan A; dan pemegang Kad OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam pada itu,  MOT berkata, sejak diperkenalkan dasar LMM digital pada Februari 2023, jumlah pengguna Aplikasi MyJPJ telah mencecah 13 juta setakat ini, mencerminkan penerimaan yang meluas oleh orang ramai terhadap inisiatif pendigitalan ini.

“Pemandu yang memilih kad digital LMM akan terus dapat mengakses kad memandu digital secara percuma yang boleh diperbaharui melalui aplikasi MyJPJ tanpa perlu ke mana-mana pejabat.

“Orang ramai adalah diseru untuk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan Lesen Memandu Digital melalui aplikasi MyJPJ demi pengalaman yang lebih mudah, pantas dan lancar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN