Pegawai JKR tidak mengaku buat tuntutan perjalanan palsu

Pegawai JKR tidak mengaku buat tuntutan perjalanan palsu

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang arkitek penguasa di Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan membuat tuntutan elaun perjalanan palsu, dua tahun lalu.

Tertuduh, Suhaili Othman, 55, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibaca jurubahasa di hadapan Hakim, N. Priscilla Hemamalini.

Dalam pertuduhan pertama, dia sebagai seorang ejen kepada JKR Kedah didakwa dengan niat hendak memperdaya prinsipalnya suatu dokumen berkenaan tuntutan elaun perjalanan Jun 2024 yang mengandungi butir matan palsu.

Tuntutan berjumlah RM894.50 itu bagi menghadiri Mesyuarat Arkitek Malaysia JKR Malaysia (MArM) 2023 menggunakan kenderaan sendiri sedangkan dia menaiki kenderaan projek di Amverton Heritage Resort, Ayer Keroh, Melaka pada 11 Jun sehingga 14 Jun 2024.

Bagi pertuduhan kedua, Suhaili didakwa memperdaya JKR Kedah tuntutan elaun perjalanan Julai 2024 berjumlah RM600 bagi menghadiri Sesi Perbincangan Bersama Pengarah Cawangan Dasar Dan Pengurusan Korporat (CDPK) bertarikh 15 Julai hingga 16 Julai 2024.

Dokumen mengandungi butir matan palsu itu merupakan tuntutan gantian kapal terbang dengan menggunakan kenderaan sendiri sedangkan dia menggunakan kenderaan projek.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Bahagian Arkitek JKR Kedah, Kota Setar di sini pada 8 Julai dan 5 Ogos 2024.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atika Ab. Rashid sementara tertuduh diwakili peguam Yusmadi Yusoff dan Durratul ‘Ain Mahmud Morshidi.

Tertuduh ditawarkan jaminan berjumlah RM12,000 oleh pihak pendakwaan, namun Yusmadi yang memberitahu mahkamah bahawa beliau mewakili Suhaili secara pro bono meminta jaminan antara RM2,000 ke RM3,000.

Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak menganggu saksi pendakwaan sementara tarikh 4 Mac ditetapkan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN