PETALING JAYA: Pas tidak terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan khususnya melibatkan pertimbangan besar seperti status kerjasama parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN).
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Halimah Ali berkata, sudah menjadi kelaziman kepemimpinan Pas Pusat untuk melaksanakan proses mencari, mengumpul dan mengesahkan fakta selain mengamalkan budaya politik yang matang sebelum sesuatu keputusan dibuat.
“Insya-Allah segalanya akan ditentukan secara profesional dan mengambil kira semua sudut. Ini asas prinsip panduan Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hubungan antara Pas dan Bersatu dilihat semakin goyah selepas enam pemimpin utama Bersatu mengumumkan peletakan jawatan PN bermula dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa hari ini.
Susulan perkembangan tersebut, timbul desakan daripada pelbagai pihak supaya Pas menilai semula dan memutuskan kerjasama dengan Bersatu.
Disoal calon paling layak untuk menggantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN, Halimah enggan menamakan mana-mana pemimpin Pas dan pemilihan kepemimpinan perlu dibuat berlandaskan prinsip yang jelas.
“Yang dipilih (Pengerusi PN) akan melalui prinsip jelas. Mereka dipertanggungjawab memikul amanah yang berat dan mampu berlaku adil,” katanya. – UTUSAN










