MARANG: Pas kekal dengan pendirian mahu menerajui Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi gabungan itu, 1 Januari lalu.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketetapan itu dibuat selari dengan resolusi Muktamar Pas di Kedah, baru-baru ini yang meluluskan usul Pas menerajui gabungan itu.
“Itu resolusi Muktamar Pas,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN ditanya apakah Pas masih kekal mahu calonnya menjadi Pengerusi PN.
Muktamar Tahunan Pas ke-71 di Kedah September tahun lalu meluluskan lima usul sempena persidangan itu termasuk penegasan bahawa parti berkenaan bukan sahaja layak tetapi wajib menerajui PN. – UTUSAN










