ALOR SETAR: Pas menafikan dakwaan wujud tekanan ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin agar meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sejak awal tahun ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara berhubung peletakan jawatan itu dijelaskan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sendiri sebelum ini.
“Tak ada tekanan daripada Pas. Saya pun tidak tahu apa maksudnya. Keperluan semasa untuk penukaran itu, mungkin boleh baca di media ada komen pasal itu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat Kepada Pegawai Pentadbiran Pejabat Tanah Negeri Kedah, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Setiausaha Politik Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad yang mendakwa ada desakan daripada Ahli Parlimen Pas supaya Muhyiddin meletak jawatan sebagai Pengerusi PN pada 1 Januari lepas.
Mengulas lanjut tentang kenyataan Marzuki bahawa Pas layak memimpin PN, kata Muhammad Sanusi, pelantikan Pengerusi PN itu hanya akan diputuskan dalam Mesyuarat Tertinggi PN nanti.
“Tengok mesyuarat PN akan datang inilah, tengok siapa yang nak jadi pengerusi. Kalau saya pun, saya tolak. Saya tidak mahu. Orang lainlah, mesyuarat akan tentukan,” katanya.
Beliau mengingatkan semua pihak agar tidak membuat spekulasi terbuka yang boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan ahli dan penyokong.
“Kena (selesai dalam) mesyuarat tak boleh cakap seorang diri di luar macam ini, berkecamuk habis. Bincang dalam mesyuarat, buat keputusan dalam mesyuarat, umum. Ini pilih bertanya macam itu jadi simpang siurlah jawapannya,” katanya. – UTUSAN










