Parti pro tentera menang fasa pertama pilihan raya Myanmar

Parti pro tentera menang fasa pertama pilihan raya Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Parti pro tentera yang dominan di Myanmar memenangi fasa pertama pilihan raya yang dikendalikan junta, dengan Parti Solidariti dan Pembangunan Kesatuan (USDP) menguasai hampir 90 peratus kerusi Dewan Rakyat, menurut keputusan rasmi terkini semalam.

Tentera merampas kuasa pada 2021 yang menggulingkan kerajaan demokratik pimpinan Aung San Suu Kyi, namun kini menyelia pilihan raya berperingkat selama sebulan yang didakwa akan mengembalikan kuasa kepada rakyat.

Bagaimanapun, diplomat Barat dan pejuang demokrasi menolak pilihan raya itu sebagai helah untuk menjenamakan semula pemerintahan tentera, dengan merujuk pemenjaraan Suu Kyi, pembubaran partinya, tindakan keras terhadap penentang serta proses pengundian didominasi sekutu junta.

USDP memenangi 89 daripada 102 kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan dalam fasa pertama, menurut pengiraan AFP berdasarkan keputusan rasmi dikeluarkan antara 2 hingga 5 Januari.

Kemenangan USDP itu bersamaan dengan lebih 87 peratus kerusi Dewan Rakyat dalam fasa pertama pengundian pada 28 Disember, manakala selebihnya dimenangi beberapa parti kecil yang mewakili kumpulan etnik minoriti.

Ramai penganalisis dan badan pemantau demokrasi menyifatkan USDP sebagai proksi tentera, dengan merujuk kepada bilangan besar pegawai tentera bersara yang memegang jawatan kanan dalam parti tersebut.

Keputusan keseluruhan dijangka diumumkan selepas fasa ketiga dan pengundian terakhir, yang dijadualkan pada 25 Januari.

Bagaimanapun, tanpa mengira keputusan pilihan raya, satu perempat kerusi Dewan Rakyat dan jawatan penting dalam Kabinet akan diperuntukkan kepada anggota tentera mengikut peruntukan Perlembagaan yang digubal oleh tentera.

USDP tewas teruk kepada Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Suu Kyi dalam pilihan raya terakhir pada 2020 sebelum tentera membatalkan keputusan itu, mendakwa berlaku penipuan meluas dan melaksanakan rampasan kuasa.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN