FWD Takaful, HSBC Amanah jalin kerjasama lancar pelan persaraan

FWD Takaful, HSBC Amanah jalin kerjasama lancar pelan persaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: FWD Takaful Bhd. menjalinkan kerjasama dengan HSBC Amanah dalam usaha mewujudkan pelan simpanan keluarga takaful jangka panjang bagi membantu rakyat Malaysia mencapai persaraan yang lebih selamat dan selesa.

Ketua Pegawai Eksekutif Negara, FWD Malaysia, Aman Chowla berkata, pelancaran produk tersebut dibuat ketika Malaysia sedang berdepan perubahan demografi yang pesat, dengan 11.6 peratus penduduk berusia 60 tahun dan ke atas pada 2024, yang dijangka meningkat kepada 17.3 peratus menjelang 2040 dan 23.4 peratus pada 2050.

“Tekanan kewangan semakin dirasai rakyat Malaysia seiring perubahan demografi ini, dengan kajian menunjukkan 66 peratus mungkin terpaksa menangguhkan persaraan akibat komitmen kewangan sedia ada, manakala 83 peratus terkesan dengan peningkatan inflasi dan kos penjagaan kesihatan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pelan tersebut merupakan jaminan kewangan semasa persaraan merupakan tunjang penting kesejahteraan kewangan, terutamanya ketika isi rumah berdepan cabaran ekonomi yang semakin meningkat.

“Pelan ini direka untuk menyediakan aliran pendapatan persaraan yang konsisten serta perlindungan kukuh untuk insan tersayang, sekali gus membolehkan rakyat Malaysia bersara dengan yakin dan menikmati usia emas mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Negara Perbankan Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier HSBC Bank Malaysia, Linda Yip berkata, pelan simpanan tersebut menawarkan perlindungan menyeluruh serta ganjaran bagi komitmen jangka panjang, sekali gus memperkasakan pelanggan mengekalkan gaya hidup mereka sehingga tempoh persaraan.

Pelan ini menyediakan pendapatan persaraan bermula dari umur bayaran yang dipilih sehingga tempoh matang, sekali gus memastikan aliran tunai yang berterusan semasa persaraan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN