PARLIMEN: Tujuh inisiatif lindung peneroka Felda

PARLIMEN: Tujuh inisiatif lindung peneroka Felda

RUBIAH WANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan tujuh inisiatif strategik bagi menjaga kebajikan dan kepentingan peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) termasuk memperkukuh asas perundangan yang menguatkan peranan agensi berkenaan.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, antara langkah utama ialah reformasi terhadap akta berkaitan seperti Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) (GSA) 1960 bagi memperkemas peranan dan fungsi Felda.

“Langkah ini juga bertujuan menjelaskan hubungan perundangan antara Felda dan peneroka, selain menyesuaikan kerangka perundangan sedia ada dengan keperluan generasi baharu peneroka serta landskap ekonomi semasa,” katanya ketika sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) mengenai langkah konkrit kerajaan bagi memulihkan keyakinan peneroka Felda serta memastikan suara mereka terus diberi perhatian.

Rubiah berkata, kerajaan akan memperkukuh penyelarasan antara Felda dan anak syarikatnya supaya keseluruhan organisasi dapat bergerak selaras dengan hala tuju strategik yang seragam, struktur organisasi lebih tersusun serta kecekapan operasi lebih tinggi.

Katanya, pendekatan itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan sumber, mengelakkan pertindihan fungsi dan meningkatkan prestasi keseluruhan kumpulan Felda.

“Penyelesaian isu legasi dan perundangan turut menjadi keutamaan kerajaan termasuk menangani beban warisan seperti litigasi tuntutan kontrak dan obligasi tertangguh yang menjejaskan kedudukan kewangan Felda.

“Pendekatan penyelesaian secara rundingan dan penstrukturan semula dilaksanakan bagi mengurangkan risiko jangka panjang serta memulihkan kestabilan institusi. Penekanan turut diberikan kepada penjelasan isu dan struktur pemilikan tanah,” katanya.

Katanya kerajaan juga sedang menjalankan rundingan dengan kerajaan negeri bagi memuktamadkan isu pemilikan dan pentadbiran tanah Felda memandangkan status tanah jelas penting bagi melancarkan operasi ladang, mempercepat pelaksanaan projek pembangunan serta menarik pelabur strategik demi kepentingan peneroka.

“Penstrukturan kewangan turut dilaksanakan bagi mengukuhkan kedudukan Felda melalui peningkatan pulangan operasi, pengoptimuman struktur kos dan pengurusan aliran tunai yang lebih berdisiplin.

“Ini termasuk penambahbaikan kecekapan pengurusan ladang dan pemerkasaan perniagaan teras Felda.

“Semua pendekatan menyeluruh ini diyakini dapat memulihkan keyakinan peneroka terhadap Felda serta memastikan agenda pembangunan dan kebajikan mereka terus diberi perhatian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN