BENTONG: Meskipun harga minyak sawit mencecah harga tertinggi RM5,700 satu tan ketika ini, namun, ia tidak memberikan kesan ketara kepada pendapatan golongan peneroka Felda.
Utusan Malaysia difahamkan, ini kerana harga jualan sawit yang diterima peneroka adalah sekitar RM1,200 satu tan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Felda Lurah Bilut, Md. Zulkifle Md. Yunus berkata, walaupun harga minyak sawit mencecah harga paling tinggi, namun, peneroka masih menerima bayaran bergantung pengeluaran hasil sawit dan bukannya harga perahan minyak.
“Tidak dinafikan harga minyak sawit tinggi, tapi jika hasilnya kurang, sama sahaja. Pengeluaran hasil sawit kini berkurangan atas faktor kekurangan tenaga kerja.
“Kami harap pihak terlibat khususnya Felda dapat menyelesaikan masalah tenaga kerja di ladang ini dengan segera kerana apabila kekurangan buruh, hasil yang dikeluarkan juga berkurangan.
“Sebagai contoh, jika tenaga kerja cukup, mereka boleh membuat pengeluaran dua atau tiga pusingan. Sekarang difahamkan hanya satu pusingan sahaja sawit dapat dikeluarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Isnin lalu, niaga hadapan minyak sawit Malaysia mencecah rekod tertinggi baharu kepada RM5,700 satu tan pada awal dagangannya, berikutan pengurangan bekalan daripada pengeluar dan pengeksport utama Indonesia.
Bagaimanapun, kontrak penanda aras minyak sawit bagi penghantaran April di Bursa Malaysia turun 0.73 peratus kepada RM5,587 satu tan.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir dilaporkan berkata, penggiat industri sawit terutamanya syarikat-syarikat perladangan sawit dan pekebun kecil dijangka akan terus menikmati kesan positif dari segi kestabilan pendapatan pada tahun ini.
Menurut Ahmad Parveez, ia susulan jangkaan peningkatan pengeluaran hasil buah tandan segar (BTS) serta harga yang masih berada pada paras tinggi.
Mengulas lanjut, Md. Zulkifle berpendapat, harga minyak sawit meningkat berikutan permintaan yang tinggi sedangkan hasil sawit berkurangan.
“Selain faktor buruh, keadaan pokok sawit kini yang kurang mengeluarkan hasil kerana buah lawas juga menjadi faktor pengurangan hasil sawit.
“Selain itu, ia juga bergantung kepada perahan minyak. Jika perahan minyak bagus, hasilnya juga tinggi.
“Mungkin kerana pokok sudah tua dan hasil tidak banyak, jadi harga makin tinggi kerana permintaan yang tinggi,” kata beliau. – UTUSAN










