BERA: Penantian lebih 40 tahun seramai 62 peneroka Felda Rentam di sini, untuk memiliki suratan hak milik tanah berakhir apabila mereka menerima dokumen berkenaan dalam satu majlis penuh bermakna, semalam.
Seorang peneroka, Mat Yusof Mohamad, 70, berkata, detik menerima suratan hak milik yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjadi kenangan paling berharga selepas menunggu sejak dilantik sebagai peneroka tetap pada 1985.
Anak kelahiran Perak itu berkata, dia bersama peneroka lain mula ditempatkan di kawasan berkenaan sebagai Bakal Calon Peneroka (BCP) sekitar 1980 sebelum disahkan sebagai peneroka tetap lima tahun kemudian.
“Dari 1985 sampailah sekarang baru dapat hak milik. Kami di sini berasa bangga, Alhamdulillah sangat-sangat bersyukur,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan dokumen itu di Majlis Daerah Bera, di sini.
Seorang lagi peneroka, Norizam Maarof, 68, berkata, pemilikan suratan hak milik itu memberi ketenangan kepada peneroka kerana tanah yang diusahakan sejak puluhan tahun kini boleh diwariskan kepada generasi seterusnya.
Katanya, isu berkaitan hak milik tanah sentiasa dibangkitkan dalam setiap mesyuarat yang dihadirinya kerana memahami harapan besar peneroka untuk memiliki tanah sendiri secara rasmi.
“Terima kasih kepada pengurusan Felda dan Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, sehingga kini seramai 42,894 peneroka atau 99.5 peratus peneroka Felda di negeri ini menerima hak milik tanah masing-masing.
Menurutnya, baki 231 peneroka atau 0.5 peratus yang belum menerimanya kini berada dalam proses penyelesaian dan dijangka dapat disempurnakan sepenuhnya tahun ini.
“Kerajaan negeri berharap penyerahan hak milik ini dapat memberikan ketenangan, jaminan masa depan serta membuka lebih banyak peluang kepada peneroka dan generasi pewaris mereka.
“Kerajaan Negeri Pahang terus komited memastikan setiap peneroka yang layak menerima hak masing-masing tanpa tercicir demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri ini selaras dengan Aspirasi Pahang 1st,” katanya. – UTUSAN










