KUALA LUMPUR: Malaysia belum menghantar sebarang pemberitahuan bertulis berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) kepada Amerika Syarikat (AS) kerana pengisian perjanjian itu masih belum dimuktamadkan dan belum dikuatkuasakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara masih mempunyai ruang untuk berunding mengenai pengisian perjanjian tersebut kerana tarikh akhir untuk dimuktamadkan belum tiba.
“Kita belum sampai ke tarikh muktamad. Apabila ada perjanjian, pihak lain akan menetapkan tarikh akhir untuk kita memuktamadkan. Kini, rundingan masih berlangsung.
“Saya telah dimaklumkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan turut menghubungi beberapa pihak lain untuk mendapatkan penjelasan. Contohnya, dengan Wakil Perdagangan AS, jaminan diberikan secara lisan dalam mesyuarat dan dicatat.
“Kami berpendapat lebih baik jaminan itu dibuat secara bertulis atau dijadikan lampiran perjanjian. Keadaan itu masih belum dimuktamadkan,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang ingin mengetahui secara konkrit jaminan bahawa ART Malaysia–AS tidak menjejaskan hak kedaulatan Malaysia untuk menggubal dasar ekonomi serta sama ada kerajaan sudah menghantar pemberitahuan bertulis seperti dinyatakan Jabatan Peguam Negara pada 3 November 2025 berkaitan ART.
Mengulas kebimbangan terhadap ART, Perdana Menteri berkata, perkara itu telah dan sedang diperincikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dengan sebanyak 35 soalan ART akan dijawab.
Katanya, perjanjian awal masih belum dimuktamadkan kerana masih memberi ruang kepada proses jawapan balas dan belum ada jadual muktamad.
“Justeru, sebarang penguatkuasaan hanya akan diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri selepas dikupas oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
“Usul penambahbaikan, penyesuaian atau penjelasan akan dijelaskan kerana dalam perbincangan itu sudah ada jaminan termasuk melalui Klausa 72.
“Kita juga ada nota jaminan daripada United States Trade Representative (USTR) dengan menteri. Tetapi lebih baik sekiranya jaminan itu dibuat bertulis atau dijadikan lampiran perjanjian sebelum dimuktamadkan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, penyelesaian terbaik untuk menyelamatkan Malaysia daripada tekanan antarabangsa ialah dengan mengukuhkan hubungan antarabangsa dan mengekalkan diplomasi yang lebih bijaksana.
Katanya, pendekatan itu bukan bermaksud Malaysia perlu mengambil sikap permusuhan, sebaliknya perlu mengetahui batas demi kepentingan negara.
“Langkah ini bertujuan memastikan negara terus kekal stabil dalam menghadapi cabaran geopolitik dan ekonomi global.
“Apakah negara ini terdedah dengan tekanan? Memang benar, negara kita tidak terkecuali terdedah. Strategi jawapannya ialah kita perkukuhkan kerjasama rantau dalam ASEAN seperti yang dipersetujui dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 iaitu kesepakatan dalam isu-isu dasar.
“Cara untuk menyelamatkan negara daripada tekanan berlebihan ialah dengan mengukuhkan hubungan antarabangsa dan mengekalkan diplomasi yang lebih bijaksana. Bukan mengambil sikap permusuhan tetapi mengetahui batasnya,” katanya. – UTUSAN










