KUALA LUMPUR: Air Sungai Perak di kawasan Parlimen Gerik yang dilaporkan berwarna biru dipercayai dipengaruhi kehadiran logam berat atau bahan kimia tertentu yang didakwa berpunca daripada aktiviti perlombongan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, perkara itu berdasarkan pemerhatian awal pasukan petugas khas (task force) yang dianggotai pelbagai agensi.
Katanya, task force tersebut turut melibatkan agensi bawah Kerajaan Negeri Perak seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak (PDTHP) serta Lembaga Air Perak.
“Selain itu, pembukaan tanah bagi aktiviti lain juga boleh menyumbang kepada insiden berkenaan berikutan sifat geologi di kawasan Hulu Perak yang dikenal pasti mempunyai kandungan mineral tinggi.
“Bagaimanapun, penentuan punca muktamad masih memerlukan pengesahan analisis makmal dan penilaian lanjut,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) mengenai tindakan segera dan pelan jangka panjang kementerian bagi menangani isu pencemaran sungai yang dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan sehingga menjejaskan kualiti air, keselamatan dan kesihatan penduduk.
Menurut Arthur, isu pencemaran ini tular dalam media sosial pada Oktober 2025 dan membabitkan air Sungai Perak yang bertukar biru, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan serta kesihatan penduduk setempat.
“Sebagai tindakan segera, NRES mengaktifkan gerak kerja pasukan petugas khas pada 26 dan 27 November 2025 membabitkan agensi teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Tenaga Atom, Jabatan Kimia Malaysia, Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Pasukan itu menjalankan pemeriksaan tapak, siasatan punca pencemaran serta pensampelan kualiti air sungai.
“NRES juga akan memperkukuh tadbir urus dan kawal selia aktiviti perlombongan di bawah bidang kuasa kementerian melalui penguatkuasaan peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) perlombongan yang ketat.
“Ini termasuk pematuhan syarat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang dikeluarkan JAS, memperkukuh pengurusan rawatan efluen lombong serta kawalan hakisan dan sedimen bagi kelulusan Skim Pengendalian Perlombongan (OMS) yang dikeluarkan JMG,” katanya.
Tambah beliau, NRES juga akan terus menyokong pendekatan berasaskan sains dan bukti melalui kajian teknikal oleh agensi berkaitan untuk menilai impak perlombongan terhadap sistem sungai, sumber air dan kesihatan penduduk.
“NRES akan memperkukuh libat urus dengan komuniti setempat dan pihak berkepentingan bagi memastikan aduan rakyat ditangani secara berkesan, maklumat disampaikan secara telus dan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan sumber asli dapat dipulihkan,” katanya. – UTUSAN










