IPOH: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak akan mengambil sampel air Sungai Perak di Kampung Sungai Papan, Gerik bagi mengenal pasti punca perubahan warna air sungai yang bertukar kebiruan dan disyaki tercemar.
Pengarahnya, Datuk Dr. Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, punca sebenar perubahan warna air hanya dapat diketahui selepas sampel air sungai dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Katanya, pegawai penyiasat telah ke lokasi sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu, namun pengambilan sampel air sungai tidak dapat dilakukan berikutan hujan lebat.
“Jambatan di kawasan berkenaan tidak mempunyai penghadang yang kukuh manakala penghadang sedia ada hanya separas lutut menyebabkan kerja-kerja persampelan tidak dapat dilaksanakan dengan selamat.
“Sampel air sungai itu akan diambil selepas cuaca kembali baik. Ketika ini keadaan di lokasi masih hujan lebat dan berisiko tinggi kepada pegawai penyiasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai perubahan warna air di hulu Sungai Perak dekat Kampung Sungai Papan, Gerik yang didapati bertukar menjadi biru seperti air laut.
Perubahan warna itu disyaki berpunca daripada kegiatan perlombongan di kawasan bukit berhampiran hulu Sungai Rui, yang merupakan salah satu anak sungai membentuk lembangan Sungai Perak.
Mohammad Ezanni berkata, berdasarkan maklumat daripada penduduk setempat, air sungai kini telah bertukar kembali kepada warna asal.
“Berdasarkan semakan melalui Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP), data pemantauan terkini bertarikh 9 Oktober lalu menunjukkan Indeks Kualiti Air (WQI) berada pada tahap baik dengan skor 93 iaitu dalam julat Kelas I hingga IIA,” katanya.-UTUSAN








