PARLIMEN: Kerajaan teliti naik taraf gred jawatan penyelia KAFA

PARLIMEN: Kerajaan teliti naik taraf gred jawatan penyelia KAFA

ZULKIFLI HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti secara menyeluruh pemantapan struktur perjawatan penyelia Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), termasuk kemungkinan menaik taraf gred jawatan mereka bagi memastikan pengurusan Program KAFA lebih berkesan di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, setakat ini seramai 383 penyelia KAFA telah dilantik sebagai penjawat awam secara kontrak (Contract of Service) di bawah Skim Pembantu Hal Ehwal Islam, yang memainkan peranan penting menyelia pelaksanaan Program KAFA di peringkat negeri dan daerah.

“Sejajar dengan peningkatan skop dan kompleksiti Program KAFA, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa meneliti semakan terhadap struktur penyeliaan sedia ada, termasuk beban tugas, nisbah penyelia kepada guru dan murid, keperluan latihan, serta kesesuaian gred perjawatan semasa,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Tuan Sabri Bin Azit (BN-Jerai) mengenai usaha kerajaan memperkasa sistem KAFA dan status penyelia KAFA sebagai penjawat awam.

Zulkifli berkata, sebagai langkah ke hadapan, kerajaan sedang meneliti pelan pemantapan perjawatan penyelia KAFA, termasuk laluan pembangunan kerjaya, pengukuhan keupayaan profesional, dan kemungkinan menaikkan gred jawatan dari S1 kepada S5, tertakluk kepada pertimbangan agensi Pusat yang berautoriti.

“Kerajaan sentiasa komited untuk memperkasakan sistem KAFA sebagai komponen penting pendidikan Islam peringkat akar umbi yang membimbing murid menguasai asas al-Quran, akidah, ibadah dan akhlak,” katanya.

Beliau menambah, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan melalui Jakim termasuk penyeragaman kurikulum KAFA, penambahan bilangan guru, latihan berterusan untuk guru dan penyelia, serta penambahbaikan pemantauan pengajaran dan pembelajaran.

“Selain itu, kerajaan turut memberikan sokongan kebajikan kepada guru KAFA seperti kemudahan cuti, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta sumbangan khas bagi meningkatkan profesionalisme tenaga pengajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN