KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) memperkasa Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) bagi menangani masalah pencemaran sungai di negara ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, langkah itu susulan pemantauan setakat Disember lalu mendapati, sebanyak 33 daripada 627 sungai di seluruh negara dikategorikan sebagai tercemar.
Beliau berkata, kesemua sungai tercemar itu dalam Kelas III hingga IV, namun tiada yang direkodkan dalam Kelas V.
Selain itu katanya, sebanyak 468 sungai lagi dikategorikan bersih dan 171 sungai lagi berada pada tahap sederhana tercemar.
Arthur berkata, beberapa tindakan segera diambil oleh kementeriannya melalui JAS antaranya memperkasa perundangan alam sekitar, meningkatkan operasi bersepadu dan mengukuhkan kerjasama di semua peringkat.
JAS juga katanya, melaksanakan penguatkuasaan pintar, penguatkuasaan secara bersasar, mengoptimumkan perkongsian data dan memperluas sistem amaran awal.
“Bagi strategi jangka panjang pula, JAS melakukan semakan terhadap peraturan-peraturan bagi kawalan pencemaran air, memperkasa Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP), semakan terhadap standard air dan memperluas pengawasan kualiti air sungai,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat, hari ini.
Arthur berkata, isu pencemaran sungai perlu ditangani secara bersepadu melibatkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana sektor yang menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai bukan hanya melibatkan sektor industri.
“Tetapi juga sektor lain seperti penternakan, pertanian, perbandaran, perlombongan dan komersial yang tidak mempunyai sistem rawatan efluen atau kumbahan tidak sempurna.
“Di samping itu, aktiviti lain seperti air limbahan daripada pasar basah, restoran atau kedai makan, dobi serta pusat cucian kereta yang dilepaskan tanpa rawatan juga menyumbang kepada kemerosotan kualiti air sungai,” katanya. – UTUSAN










