KUALA LUMPUR: Sebanyak 61 lesen pengendali kenderaan perdagangan digantung tahun lalu selepas terlibat dalam kemalangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga menggantung 138 permit kenderaan dan 139 lesen kenderaan syarikat kenderaan perdagangan.
Menurut beliau, APAD turut membatalkan lesen tiga pengendali, 52 permit kenderaan dan 14 lesen kenderaan daripada syarikat kenderaan perdagangan yang terlibat dalam kemalangan.
“APAD juga telah mengambil tindakan ke atas syarikat kenderaan perdagangan berdasarkan aduan awam di mana 46 lesen pengendali, 90 permit kenderaan dan 42 lesen kenderaan telah digantung.
“Manakala empat lesen pengendali dan sembilan permit kenderaan telah dibatalkan. APAD juga telah menggantungkan 61 lesen pengendali kerana gagal audit keselamatan,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai pecahan bilangan syarikat yang digantung atau dibatalkan lesen pengendali atau permit kenderaan oleh APAD pada tahun lalu atas kesalahan keselamatan atau terlibat kemalangan.
Sementara itu, Anthony Loke berkata, 15,922 permit baharu telah keluarkan untuk kenderaan barangan, manakala 1,286 untuk kenderaan pelancongan dan 3,001 kenderaan perkhidmatan awam.
“Tindakan penggantungan dan pembatalan ini dilaksanakan sebagai langkah memastikan pematuhan terhadap aspek keselamatan, disiplin operasi serta tanggungjawab pengendali.
“Ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan tahap keselamatan pengangkutan awam dan kenderaan perdagangan di negara ini,” katanya. – UTUSAN










