PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Zulin Aziz, 36, menasihatkan masyarakat agar berhati-hati dengan kewujudan akaun palsu yang digunakan individu tidak bertanggungjawab sebagai alat penipuan dalam aplikasi Threads.
Menurutnya, selain menggunakan gambar individu lain, pemilik akaun berkenaan turut mengada-adakan cerita untuk meraih simpati mangsa.
“Ada yang buat cerita sedih sebab nak sedekah amal jariah netizen. Padahal orang itu tidak wujud pun.
“Dia main ambil sahaja gambar sesiapa, buat macam-macam cerita.
“Hujung-hujung, engkau orang kasihan padahal dia (penipu) mereka cerita sahaja.
“Semak akaun (Threads) dulu okey,” tulisnya dalam platform tersebut.
Menurut pemilik nama sebenar Farah Azleenda Abdul Aziz, amat merisaukan apabila ramai pengguna aplikasi tersebut menjadi mangsa selepas terpedaya dengan propaganda penipu.
“Tulis cerita sedih, hujung-hujung bagi kod QR. Tapi akaun palsu dia cipta bagi nama ‘real’ tapi pakai gambar orang,” tulisnya lagi. – UTUSAN










