PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan 16 akaun bank bernilai RM10.2 juta selain merampas wang tunai RM87,000 terhadap dakwaan rasuah dalam pengurusan sisa elektronik (e-waste) di Selangor dan Negeri Sembilan.
Selain itu, pelbagai barang kes termasuk sebuah kereta dan barang-barang kemas dianggarkan RM220,000 turut disita.
Satu sumber berkata, seorang pengarah syarikat yang disiasat oleh Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM telah disambunh reman mulai hari ini sehingga 30 Januari ini.
Dalam perkembangan berasingan, sumber berkata, SPRM Negeri Sembilan juga telah menahan reman empat individu termasuk seorang pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan sejak 20 Januari sehingga hari ini.
“SPRM telah mempergiatkan siasatan terhadap dakwaan rasuah dalam pemprosesan e-waste, pembuangan sisa efluen serta buangan berjadual di Selangor dan Negeri Sembilan.
“Tangkapan termasuk reman pengarah syarikat dan pegawai dari sebuah jabatan kerajaan yang disyaki melindungi kilang-kilang memproses e-waste dan juga pembuangan barangan berjadual tanpa melalui proses yang ditetapkan,”jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki telah mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Azam tidak menolak berkemungkinan akan ada tangkapan lanjut selepas ini. – UTUSAN










