Op Lebih Muatan: 1.2 juta kenderaan perdagangan diperiksa - Utusan Malaysia

Op Lebih Muatan: 1.2 juta kenderaan perdagangan diperiksa

AEDY FADLY RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGKIL: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan pelbagai kesalahan dilakukan pemandu kenderaan perdagangan dalam Operasi Lebih Muatan yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang tahun lalu.

Antaranya tertinggi iaitu kesalahan tiada lesen vokasional, gagal menyelenggara tayar dengan baik serta memandu tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sepanjang tahun 2025, pihaknya telah memeriksa sebanyak 1.2 juta kenderaan perdagangan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 240,493 kenderaan telah diambil tindakan manakala 465 kenderaan disita mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

“Statistik ini menunjukkan tahap ketidakpatuhan yang masih membimbangkan dalam kalangan pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan, khususnya berkaitan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Dengkil, di sini malam tadi.

Katanya, berbanding tahun 2024, sebanyak 829,392 kenderaan diperiksa dengan peningkatan 35.5 peratus.

“Statistik turut merekodkan sebanyak 126,974 kenderaan diambil tindakan dan angka ini didapati meningkat 47.2 peratus.

“Sebanyak 69 kenderaan pula disita pada tahun 2024, namun angka itu melonjak kepada 465 kenderaan pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak 85.2 peratus,” jelasnya.

Menurutnya, antara kesalahan utama yang dikesan termasuk gagal mematuhi Notis Arahan Pemeriksaan Berkala, tiada lesen vokasional, tayar kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik serta pemandu tanpa CDL.

Jelasnya, fokus utama Operasi Lebih Muatan adalah terhadap kenderaan yang melanggar had muatan dibenarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selain itu antara diberi fokus adalah pematuhan peraturan berkaitan, termasuk aspek teknikal dan pematuhan penggunaan Sistem Had Laju (SLD).

“Penguatkuasaan ini penting bagi memastikan kenderaan perdagangan beroperasi mengikut piawaian ditetapkan dan tidak membahayakan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa operasi tersebut disokong dengan pelaksanaan Audit JISA.

“Pelaksanaan JISA ini bagi menilai tahap pematuhan keselamatan, integriti operasi serta pengurusan risiko dalam kalangan pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan,” katanya.

Aedy Fadly berkata, JPJ tidak berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan penguatkuasaan di bawah Operasi Lebih Muatan akan terus diperkasakan secara berterusan.

“Langkah ini bagi menjamin keselamatan jalan raya, kesejahteraan orang awam serta kelestarian sistem pengangkutan negara.

“Orang ramai diminta menyalurkan sebarang aduan berkaitan kesalahan kenderaan perdagangan secara terus atau masa nyata melalui aplikasi MyJPJ menerusi e-Aduan@JPJ atau e-mel ke [email protected] dengan maklumat lengkap bagi tindakan lanjut,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN