TELUK INTAN: Objek misteri yang tertanam di dasar Sungai Perak di sini, dipercayai berusia lebih 100 tahun perlu diangkat sebagai tarikan pelancongan baharu yang mampu menambah nilai sejarah bandar ini.
Objek yang didakwa sebagai kepala kereta api atau dandang (boiler) enjin kapal wap itu hanya akan kelihatan sebahagian kecilnya ketika air sungai surut, terutama pada musim panas.
Situasi itu menarik perhatian pelancong yang datang ke Teluk Intan untuk melihat sendiri tinggalan sejarah tersebut.
Pengerusi Persatuan Pelancongan Teluk Intan, Fong Seow Kai berkata, objek itu sesuai diketengahkan sebagai produk pelancongan baharu, selain Menara Condong yang menjadi mercu tanda bandar ini.
Katanya, kewujudan objek itu membuktikan Teluk Intan pernah menjadi sebuah bandar penting dan maju serta berperanan sebagai pusat pentadbiran British suatu ketika dahulu.
“Kita sendiri tidak dapat memastikan sama ada objek besi itu merupakan kepala kereta api atau dandang enjin kapal wap. Namun, kewujudannya sudah lama diketahui dan sering menjadi tumpuan pelancong, walaupun ia hanya boleh dilihat ketika air sungai cetek,” katanya.
Seow Kai berkata, minat pelancong untuk melihat objek misteri itu menunjukkan tarikan kuat terhadap sejarah tempatan, namun sebarang usaha membawa pelancong ke lokasi tersebut perlu mengambil kira aspek keselamatan.
Sementara itu, kajian oleh persatuan sejarah dikenali sebagai Team Orang Perak percaya, objek tersebut merupakan dandang enjin stim milik sebuah kapal wap yang karam.
Jurucakapnya, Iskandar Zulqarnain Zaheruddin berkata, pihaknya percaya berlaku perlanggaran dua kapal wap di Sungai Perak pada 1896, menyebabkan dandang enjin tersebut tertanam di dasar sungai.
“Ada yang mendakwa objek itu kepala kereta api, namun berdasarkan saiz dan ciri fizikalnya, kami lebih cenderung mempercayai ia adalah dandang enjin kapal wap,” katanya.
Zulqarnain berharap pihak berwajib dapat menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti objek itu secara rasmi serta mempertimbangkan usaha mengeluarkannya untuk dipamerkan kepada orang ramai sebagai warisan sejarah Teluk Intan, walaupun mengakui kosnya adalah tinggi. – UTUSAN










